









21 Mei 2026
Persidangan Tahunan China-Malaysia Port Alliance (CMPA) telah
berlangsung hari ini di Nanning, Guangxi, China, menandakan satu lagi
detik bersejarah dalam perkembangan kerjasama maritim dua hala
antara Malaysia dan China.
Persidangan penting ini menyaksikan
beberapa pencapaian utama yang dijangka mengukuhkan lagi rangkaian
pelabuhan antara kedua-dua negara.
Dalam persidangan hari ini, beberapa Memorandum Persefahaman
(MoU) telah ditandatangani antara pelabuhan-pelabuhan Malaysia dan
China, selain penerimaan rasmi pelabuhan-pelabuhan ahli baharu
daripada pihak China ke dalam Perikatan.
Pencapaian-pencapaian
penting ini bukan sahaja memperluas jaringan CMPA, malah akan
meningkatkan secara signifikan kerjasama antara pelabuhan-pelabuhan
di Malaysia dan China, di samping mewujudkan peluang-peluang baharu
dalam perdagangan antarabangsa.
Persidangan hari ini turut disertai oleh Menteri Pengangkutan Malaysia
YB Loke Siew Fook; Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang dan Ketua
Sekretariat Malaysia bagi CMPA Ean Yong Hian Wah; Timbalan Ketua
Pengarah, Biro Pengangkutan Air, Kementerian Pengangkutan China
Lin Xiaoping; Naib Pengerusi, Jawatankuasa Perundingan Politik Rakyat
China (CPPCC) Guangxi Liu Yongmei; Pengerusi, Guangxi Beibu Gulf
International Port Group Co., Ltd., tuan rumah Persidangan Tahunan ke-
7 CMPA Hu Huaping; dan Presiden, China Ports and Harbours
Association dan Ketua Sekretariat China bagi CMPA Gu JinShan.
“Sektor maritim global kini mengalami transformasi yang mendalam.
Rantaian bekalan semakin kompleks dan terdedah kepada gangguan
luar, terutamanya dalam konteks perkembangan geopolitik yang
berubah-ubah dan corak perdagangan yang bergeser.
“Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, adalah menjadi harapan saya
agar pelabuhan-pelabuhan dari Malaysia dan China akan terus
bekerjasama dengan rapat, termasuk melalui platform seperti China–
Malaysia Port Alliance, bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan
geopolitik, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan memastikan
kestabilan aliran perdagangan serantau dan global,
” YB Loke berkata
dalam ucapan pembukaannya.
Sejak penubuhannya pada tahun 2015, China–Malaysia Port Alliance
telah berkembang menjadi platform kerjasama yang praktikal dan
berimpak tinggi. Apa yang bermula sebagai satu visi bersama telah
berkembang menjadi rangkaian dinamik yang merangkumi keahlian 11
pelabuhan Malaysia dan 15 pelabuhan China, mencerminkan komitmen
kukuh kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama maritim.
Persidangan ini berlangsung dalam tahun yang penuh simbolik, apabila
Malaysia dan China meraikan 52 tahun hubungan diplomatik. China
kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, dengan perdagangan
dua hala melepasi RM541.54 bilion pada tahun 2025.
Dagangan
Malaysia-China menyumbang 17.7% daripada jumlah perdagangan
keseluruhan Malaysia, mencerminkan kedalaman dan kepentingan
hubungan ekonomi kedua-dua negara.
Lebih 90 peratus perdagangan Malaysia dibawa melalui laut,
menonjolkan peranan kritikal pelabuhan dalam menyokong
perdagangan global.
Pada tahun 2025, pelabuhan-pelabuhan Malaysia secara kolektif
mengendalikan kira-kira 33.07 juta TEU. Pelabuhan Klang dan
Pelabuhan Tanjung Pelepas kekal antara pelabuhan kontena terkemuka
di peringkat global, mencerminkan kecekapan, kebolehpercayaan dan
kedudukan strategik Malaysia di sepanjang laluan perkapalan
antarabangsa utama.
China–Malaysia Port Alliance merupakan bukti nyata apa yang mampu
dicapai melalui kepercayaan bersama, visi yang dikongsi dan kerjasama
yang berterusan. Seiring dengan perkembangan CMPA, ia akan terus
memainkan peranan yang semakin penting dalam mengukuhkan
integrasi serantau dan memajukan kerjasama maritim antara Malaysia
dan China.
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
21 MEI 2026
