KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

JABATAN KESIHATAN NEGERI, NEGERI SEMBILAN

WABAK DISYAKI LEPTOSPIROSIS (KENCING TIKUS) DI KUALA
PILAH, NEGERI SEMBILAN

13 Mei 2026

Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengambil maklum
berhubung mesej tular di media sosial berkaitan kejadian wabak disyaki
leptospirosis di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah telah melaporkan satu
wabak disyaki leptospirosis di sebuah taman rekreasi di Kuala Pilah yang
melibatkan empat (4) kes.

Kesemua kes mempunyai gejala yang demam,
sakit kepala, dan sakit otot serta mempunyai sejarah mengunjungi dan
menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi tersebut.

Daripada jumlah
tersebut, satu (1) kes telah dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut,
manakala tiga (3) kes lain menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sampel klinikal daripada kes-kes tersebut telah diambil untuk tujuan ujian
pengesahan leptospirosis.

Penilaian risiko yang dijalankan di kawasan taman rekreasi berkenaan
mendapati terdapat persekitaran yang kondusif bagi penularan penyakit
leptospirosis.

Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, kawasan
rekreasi tersebut telah ditutup oleh agensi berkaitan bermula 10 Mei 2026
hingga 17 Mei 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan
penyelenggaraan dijalankan.

Leptospirosis merupakan sejenis penyakit zoonosis, iaitu penyakit yang
boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia, disebabkan oleh
bakteria Leptospira.

Manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau
membran mukus yang terdedah kepada bahan tercemar seperti air,
tanah, atau makanan, termasuk melalui pengambilan bahan tercemar
tersebut.

Pelbagai haiwan liar dan domestik boleh menjadi perumah kepada
bakteria Leptospira, antaranya tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab,
dan kuda. Leptospirosis adalah penyakit endemik di negara beriklim
tropika termasuk Malaysia.

Tempoh pengeraman penyakit ini adalah
antara dua (2) hingga 30 hari. Gejala jangkitan termasuk demam,
menggigil, sakit badan atau otot, sakit kepala, batuk tanpa kahak, loya,
muntah, dan cirit-birit.

Sehubungan itu, JKNNS ingin menasihatkan orang ramai agar:

  • Mengelakkan mengunjungi kawasan rekreasi air terutama ketika
    musim hujan berikutan risiko jangkitan leptospirosis;
  • Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang
    sampah merata-rata;
  • Mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan
    menggunakan air bersih dan sabun;
  • Mengelakkan minum atau menggunakan air sungai serta air yang
    tidak dimasak;
  • Mengelakkan berenang atau bermain air sekiranya mempunyai
    luka, serta memastikan luka ditutup dengan pembalut kalis air; dan
  • Mengelakkan bermain air atau melalui kawasan lopak dan air
    bertakung terutama selepas banjir.

Jabatan ini akan terus memantau perkembangan semasa kejadian
leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan
langkah pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi
berkaitan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga
kebersihan ketika mengunjungi pusat rekreasi dan segera mendapatkan
rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala
selepas mengunjungi kawasan rekreasi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *