

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2026 – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
menyambut baik serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas maklum
balas positif berhubung mekanisme penyaluran petrol bersubsidi nelayan.
KPDN telah memaklumkan bahawa peraturan permit khas bagi pembelian petrol
bersubsidi melebihi 20 liter adalah tidak meliputi pembelian untuk petrol bersubsidi
nelayan.
Ini adalah kerana penyaluran subsidi petrol nelayan telah mempunyai
mekanisme kawal selia melalui Aplikasi MyMinyak untuk memastikan subsidi diguna
pakai mengikut peraturan yang berkuat kuasa melalui stesen-stesen minyak yang
disenaraikan oleh LKIM dalam penyaluran petrol bersubsidi nelayan.
Sehubungan itu, para nelayan yang berdaftar dan tersenarai boleh terus
memanfaatkan petrol bersubsidi nelayan melebihi 20 liter tanpa memerlukan permit
khas tertakluk kepada peruntukan sedia ada petrol bersubsidi sebanyak 50 liter
sehari.
Mekanisme dan manfaat subsidi ini adalah sejajar dengan komitmen Kementerian
Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menguruskan sektor pertanian
terutama perikanan dengan lebih berkesan dan mampan.
Kemudahan ini juga
merupakan langkah proaktif dalam memastikan kebajikan komuniti nelayan terus
terpelihara, di samping memperkukuh kawal selia bekalan bahan api negara.
Bagi menjamin pelaksanaan yang lebih berkesan, LKIM akan mengukuhkan
bekerjasama rapat dengan KPDN untuk mengintegrasikan data Aplikasi MyMinyak ke
dalam Sistem Permit Bekalan, sekali gus memastikan penyaluran subsidi yang lebih
telus dan berkesan dalam mengekang ketirisan.
LKIM menegaskan komitmen penuh untuk terus bekerjasama dengan pihak penguat
kuasa KPDN serta mana-mana jabatan dan agensi penguatkuasaan negara bagi
memastikan tiada ruang berlakunya ketirisan atau penyalahgunaan bahan api
bersubsidi.
Penggunaan teknologi melalui Aplikasi MyMinyak akan terus
diperkasakan sebagai mekanisme kawal selia utama bagi memantau kelayakan serta
kuantiti pembelian di lapangan.
LKIM akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini di semua peringkat bagi
memastikan nelayan di bawah seliaan menerima manfaat seadilnya.
Apa-apa
tuntutan dan keperluan lain nelayan berkaitan penyaluran subsidi bahan api adalah
dalam peringkat penelitian tentang kaedah penyaluran yang berkesan dan usaha
mengekang ketirisan subsidi.
Justeru, nelayan digesa untuk meningkatkan produktiviti tangkapan ikan selaras
dengan kemudahan subsidi ini bagi mencapai agenda keterjaminan makanan yang
ditetapkan oleh KPKM selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-TAMAT-
Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil
Pengerusi
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
7 Mei 2026
