RAMPASAN ROKOK DAN MINUMAN KERAS TAK BERKASTAM HAMPIR RM2 JUTA DI BINTULU

BINTULU, 22 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras yang disyaki tidak berkastam bernilai hampir RM2 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang kosong di Jalan Nyigu , bulan lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Bintulu pada pukul 5 petang, 30 Mac lalu itu dilaksanakan hasil maklumat risikan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1.92 juta batang rokok serta 5,988 liter minuman keras yang dipercayai melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Bagi rampasan rokok, nilai dianggarkan sebanyak RM384,000 dengan jumlah duti dan cukai RM1,347,840, menjadikan keseluruhan RM1,731,840” ujarnya dalam sidang media di Jabatan Kastam Diraja Malaysia , Cawangan Bintulu pada pagi tadi.

Sementara itu, rampasan minuman keras pula dianggarkan bernilai RM89,820 dengan duti dan cukai sebanyak RM143,352.72, menjadikan jumlah keseluruhan RM233,172.72.

Secara keseluruhan, nilai barangan rampasan dianggarkan RM473,820, manakala jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM1,491,192.72, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM1,965,012.72.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang tidak berkastam atau barangan larangan import.

Wartawan dan Photo – ISKANDAR SHAH

Sumber : beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *