Seorang kakitangan kerajaan di Pekan, Pahang rugi RM130,806.16 ditipu pelaburan tidak wujud

Wartawan JM
20 APRIL 2026

Tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan berganda dalam tempoh dua hingga tiga jam akhirnya telah menjerat seorang kakitangan kerajaan sehingga menanggung kerugian sebanyak RM130,806.16.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superitendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata kakitangan wanita berusia 48 tahun itu tidak menjangka syarikat skim pelaburan yang dilihatnya melalui akaun FB itu sebenarnya adalah pelaburan yang tidak wujud.

Setelah merasakan ditipu, kata Mohd Zaidi, mangsa tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pahang.

Beliau berkata pada awal bulan Februari 2026 mangsa telah melihat satu iklan pelaburan melalui akaun FB di mana terus berhubung dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kewangan Syarikat Pelaburan MIDF.

PULANGAN YANG TINGGI

“Selepas itu mangsa bersetuju untuk menyertai pelaburan yang ditawarkan di mana menjanjikan kadar pulangan yang tinggi iaitu hanya dalam tempoh dua hingga tiga jam saja,” kata beliau dalam kenyataan media.

Mohd Zaidi berkata mangsa yang terpedaya dengan tawaran tersebut itu kemudiannya telah mula membuat pembayaran pada 14 Februari 2026 sehinggalah 15 April 2026.

“Dalam tempoh masa berkenaan, mangsa telah melakukan sebanyak 16 kali transaksi pindahan wang secara atas talian ke lapan akaun bank berbeza di mana menjadikan keseluruhannya berjumlah RM130,806,16,” kata Mohd Zaidi.

Jelas beliau mangsa telah menggunakan wang simpanan sendiri untuk pelaburan ini.

MELAKUKAN SEMUA TRANSAKSI

Beliau berkata setelah melakukan semua transaksi itu, mangsa masih lagi diminta untuk membuat bayaran lain sebagai caj pengesahan hasil pelaburan kepada Jabatan Audit Negara.

“Mangsa mula mengesyaki telah ditipu kerana masih lagi belum menerima sebarang komisyen keuntungan seperti yang dijanjikan tetapi masih lagi diminta untuk membuat pembayaran atas alasan yang tidak munasabah,” kata Mohd Zaidi.

Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *