PERKEMBANGAN TERKINI MENGENAI GANGGUAN SISTEMPENGENDALIAN BAGASI DI KLIA

20 April 2026

SEPANG :
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT),
Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan telah mempengerusikan satu mesyuarat
penyelarasan kecemasan pagi ini susulan gangguan Sistem Pengendalian
Bagasi (Baggage Handling System – BHS) di Terminal 1, Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 April 2026.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan pegawai
kanan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengurusan
tertinggi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), wakil syarikat
penerbangan serta pasukan operasi yang terlibat secara langsung semasa
insiden.

HASIL SIASATAN

MOT ingin memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati punca utama
gangguan telah dikenal pasti dan langkah mitigasi segera serta jangka
panjang sedang dilaksanakan.

Pada jam kira-kira 4:54 petang, 18 April 2026, sistem Gas Insulated Switchgear
(GIS) 132kV di pencawang Bukit Raja telah mengalami gangguan (trip),
menyebabkan penurunan voltan yang memberi kesan kepada operasi KLIA.

Gangguan ini telah mengakibatkan kegagalan pengawal sistem BHS dan
seterusnya menyebabkan penutupan besar sistem yang menjejaskan
pengendalian bagasi bagi penerbangan berlepas dan ketibaan.

Walaupun sistem disokong oleh unit Uninterruptible Power Supply (UPS),
sebanyak enam (6) unit UPS turut terjejas, sekali gus mendedahkan kelemahan
dari segi ketahanan sistem.

Dalam tempoh antara jam 5:00 petang hingga 10:30 malam pada hari
kejadian, sejumlah 23,769 bagasi telah diproses.

Daripada jumlah tersebut:

  • 1,061 bagasi dilaporkan sebagai shortshipped
  • 120 bagasi dikenal pasti sebagai kehilangan semasa ketibaan

MAHB bersama rakan pengendali darat telah berjaya menghantar
sebahagian besar bagasi yang terlibat, manakala baki kecil masih dalam
proses akhir penyerahan atau tuntutan.

JADUAL PENERBANGAN TIDAK TERJEJAS

Adalah penting untuk dimaklumkan bahawa jadual penerbangan tidak
terjejas, dan tiada kelewatan atau pembatalan penerbangan dilaporkan
akibat insiden ini.

Semakan dalaman turut mengenal pasti beberapa cabaran utama,
termasuk:

  • penyelarasan operasi di lapangan
  • masa tindak balas
  • keterlihatan sistem secara masa nyata

Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan (Business Continuity Plan – BCP)
telah diaktifkan, skala gangguan yang berlaku melebihi jangkaan senario
sedia ada.

Sebagai langkah segera, MAHB dan rakan syarikat penerbangan telah
melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi
menstabilkan aliran penumpang dan mengurangkan kesulitan.

Sehubungan itu, MOT telah mengarahkan satu penambahbaikan menyeluruh
terhadap protokol dan infrastruktur sistem pengendalian bagasi di KLIA, serta
akan memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaannya.

Pada 22 April 2026, MOT akan membentangkan Nota Jemaah Menteri
berkaitan insiden ini.

Selain itu, Pengarah Urusan MAHB telah diarahkan untuk
mengemukakan laporan kemajuan mingguan mengenai usaha penstabilan
operasi bagasi.

Dalam masa yang sama, CAAM sedang menjalankan siasatan lanjut dan
akan bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan operasi kembali stabil
sepenuhnya serta mematuhi semua piawaian keselamatan dan
perkhidmatan yang ditetapkan.

MOT memberi jaminan bahawa langkah-langkah proaktif dan tegas sedang
dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian berulang serta memastikan KLIA
terus beroperasi pada tahap kecekapan dan kebolehpercayaan tertinggi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *