
SANAA, 18 April– Ribuan penyokong Houthi di Yaman membanjiri ibu negara, Sanaa, pada Jumaat bagi menyatakan solidariti terhadap Lubnan susulan pengumuman gencatan senjata yang mengakhiri konflik rentas sempadan antara kumpulan Hizbullah dan Israel.
Perhimpunan besar-besaran itu berlangsung di dataran utama bandar tersebut, menyaksikan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Yaman, Palestin, Iran, Lubnan dan Iraq sambil melaungkan slogan mengecam Amerika Syarikat (AS) serta Israel.
SOKONGAN KUMPULAN
Demonstrasi tersebut merupakan sebahagian daripada sokongan kumpulan itu terhadap ‘Paksi Penentangan’ (Axis of Resistance), sebuah pakatan serantau yang merangkumi Iran dan kumpulan sekutu yang menentang rejim Israel.
Salah seorang peserta, Dhaahi Abu Hedalah berkata kehadiran mereka bertujuan untuk menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah satu, demi mempertahankan Palestin daripada kezaliman AS dan Israel serta berikrar tidak akan membiarkan Lubnan sendirian.
“Kami keluar untuk mengesahkan bahawa medan perjuangan kami adalah satu. Sebagaimana kami menyokong Palestin, kami juga akan menyokong Lubnan kerana kedua-duanya adalah sebahagian daripada perjuangan yang lebih besar,” ujarnya.
Nada yang lebih tegas disuarakan oleh seorang lagi peserta, Muhammad al-Kamali, yang berikrar untuk terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.
“Demi Allah, kami tidak akan menghentikan sokongan kami terhadap Palestin dan Lubnan. Kami sanggup menawarkan apa yang paling berharga buat kami, iaitu darah kami sendiri, sebagai memenuhi tuntutan tanggungjawab agama,” tegasnya.
Perhimpunan itu mencerminkan ketegangan yang berterusan di rantau berkenaan meskipun selepas perjanjian gencatan senjata dicapai di sempdan Lubnan-Israel. –
Sumber : REUTERS
