Pendidikan tahfiz antara tunjang utama bina generasi al-Quran berkualiti di Perlis – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
16 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pendidikan tahfiz merupakan antara tunjang utama dalam membina generasi al-Quran yang berkualiti di negeri Perlis pada masa hadapan.

Menurut Baginda, pendidikan tahfiz bukan sahaja melahirkan para huffaz yang mampu menghafaz al-Quran dengan baik, bahkan berperanan membentuk peribadi Muslim yang berakhlak mulia, berdisiplin, serta memiliki jati diri yang kukuh.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Penutup Festival Sukan dan Seni Islam Tahfiz (FIESTA) 2026 Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Dewan Warisan Kangar.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

PENGANJURAN FIESTA 2026

Dalam titahnya, Tuanku Raja Muda menzahirkan bahawa penganjuran FIESTA 2026 memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk mencungkil bakat serta mengasah kemahiran dalam pelbagai bidang berkaitan dunia tahfiz al-Quran.

Program seumpama ini turut menyemai nilai kerjasama, disiplin, kepimpinan serta daya saing yang sihat dalam kalangan peserta.

Penganjuran kali ini lebih istimewa dengan penglibatan pelajar-pelajar di bawah Majlis-Majlis Agama Islam dari Wilayah Andaman, dan Wilayah Phatthalung juga di Thailand, sekali gus memperkukuh elemen antarabangsa dalam festival berkenaan.

MEMBINA HUBUNGAN UKHUWAH

Sehubungan itu, Baginda menyeru para peserta agar merebut peluang yang tersedia untuk membina hubungan ukhuwah antara negara, di samping bertukar pandangan dan pengalaman dalam memajukan bidang tahfiz al-Quran.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, jalinan kerjasama seperti ini amat penting dalam memperkukuh jaringan pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Exco Kerajaan Negeri, Izizam Ibrahim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.

MENYEMARAKKAN BUDAYA TAHFIZ

Festival Sukan dan Seni Islam Tahfiz 2026 (FIESTA 2026) anjuran JAIPs s dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan menyemarakkan budaya tahfiz, sukan dan seni Islam di peringkat antarabangsa.

Festival ini melibatkan lebih 120 orang peserta terdiri daripada institusi maahad tahfiz di Perlis serta penyertaan antarabangsa dari Thailand buat julung-julung kalinya.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk Hafazan al-Quran, Hafazan Hadis, Khutbah, serta Memanah Tradisional.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah bagi kategori Hafazan al-Quran Lelaki dan Memanah Tradisional Lelaki, selain melancarkan Pelaksanaan Sijil Tahfiz Negeri Perlis (STPs).

Sementara itu, pengurniaan hadiah bagi kategori Hafazan al-Quran Perempuan dan Memanah Tradisional Perempuan telah disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *