
KUCHING, 16 April — Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui penganjuran Hari Bersama Pelanggan TBS Bahagian Kuching sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Program yang diadakan di Ibu Pejabat TBS Kuching itu menghimpunkan pembayar zakat, penerima bantuan, amilin serta rakan strategik daripada agensi kerajaan dan swasta dalam suasana penuh kemeriahan Syawal.
Penganjuran ini bukan sahaja menjadi platform interaksi bersama masyarakat, malah mencerminkan komitmen TBS dalam mendekati komuniti serta mengeratkan hubungan silaturahim, khususnya dengan golongan asnaf di negeri ini.
Bagi memudahkan orang ramai, kaunter perkhidmatan turut disediakan untuk mendapatkan maklumat berkaitan bantuan, urusan pembayaran zakat serta pelbagai perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh TBS.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha serta Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Setakat Mac tahun ini, golongan asnaf yang layak di Sarawak telah menerima manfaat melalui agihan sebanyak RM39.68 juta oleh TBS.
Wartawan/Foto: VONNESIA
