FINAS, Jabatan Insolvensi Malaysia kerjasama bantu kurangkan beban kewangan – Fahmi

Wartawan JM
9 APRIL 2026

Perbadanan Kemanjuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Insolvensi Malaysia akan berkerjasama bagi membantu mengurangkan beban kewangan serta meningkatkan kesejahteraan penggiat industri.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau percaya, kerjasama antara FINAS dan Jabatan Insolvensi yang dimeterai sempena sambutan Hari Seniman 2026 dapat membantu seniman dan karyawan yang terkesan untuk bangkit semula serta terus berkarya.

Beliau berkata bagi kelestarian industri kreatif, Dana Citra bernilai RM10 juta turut dilancarkan dengan fokus terhadap pembangunan kandungan berteraskan identiti nasional yang melibatkan filem cereka, dokumentari dan filem pendek.

Jelas beliau yang hendak disampaikan adalah kerajaan akan terus membantu para seniman, karyawan serta semua tenaga kerja yang terlibat dalam industri kreatif dan bidang perfileman.

BUKAN HANYA TERHAD

“Bantuan kerajaan bukan hanya terhad kepada menyediakan dana atau peruntukan bagi proses membangunkan industri perfileman negara tetapi turut meliputi aspek perundangan kepada mereka yang berdepan masalah kebankrapan,” kata Fahmi dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau hadir pada Simposium Seniman 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati, Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *