




10 April 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui
Bahagian Penguat Kuasa dengan kerjasama pasukan risikan dan serbuan
telah berjaya membongkar satu kegiatan penyelewengan minyak masak
bersubsidi dalam satu operasi khas yang dijalankan pada 7 April 2026 jam 2.00
petang di sebuah premis tanpa nama di Mantin, Negeri Sembilan.
Operasi ini merupakan hasil dari penjejakan dan pengesanan yang selama
sebulan oleh pasukan risikan KPDN sebelum serbuan dilaksanakan.
Premis
merupakan sebuah rumah satu tingkat berpagar dan terdapat empat individu di
lokasi kejadian.
Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut digunakan untuk
menjalankan aktiviti memotong plastik minyak masak peket bersubsidi 1
kilogram sebelum dipindahkan ke dalam tangki jenis Intermediate Bulk
Container (IBC).
PEMBORONG DI SEMENYIH
Minyak masak peket 1 kilogram dipercayai diperoleh daripada
pemborong di Semenyih kemudiannya dibawa ke premis tersebut untuk kerja
pemotongan plastik dan akan dijual semula ke premis kitar semula minyak
masak di Selangor.
Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 215 kotak minyak masak peket 1 kg
dengan jumlah 3,655 kilogram dan empat tong IBC yang mana tiga daripada 4
tong berkenaan mengandungi minyak masak dengan anggaran 1,050 kilogram.
Siasatan awal juga mendapati premis dan individu yang disyaki (OYDS) tidak
memiliki sebarang lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi
menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan bersubsidi tersebut.
4,705 KILOGRAM TELAH DISITA
Kesemua
minyak masak sebanyak 4,705 kilogram telah disita. Turut disita ialah sebuah
lori 1 tan serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam
kegiatan penyelewengan tersebut.
Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan
berjumlah RM57,247.50
Empat orang individu yang terdiri seorang warga tempatan dan tiga orang
warganegara asing yang berada di premis tersebut telah ditahan dan direman
bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca
bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu
berurus niaga Barang Kawalan Berjadual tanpa lesen atau kebenaran yang sah
dari Pengawal Bekalan.
Jika sabit kesalahan individu boleh dihukum di bawah
Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu boleh didenda tidak
melebihi satu juta ringgit atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi tiga
tahun atau kedua-duanya sekali.
KPDN akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras
sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan dan subsidi yang
menjejaskan kepentingan rakyat serta ketirisan subsidi negara.
Bermula 16 Mac 2026, KPDN telah melaksanakan OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu)
sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan terhadap ketirisan barang
kawalan dan bersubsidi.
Sehingga 7 April 2026, bagi komoditi minyak masak
sahaja, sebanyak 15 kes telah direkodkan di seluruh negara dengan jumlah
rampasan sebanyak 19,511 kilogram melibatkan nilai keseluruhan berjumlah
RM48,884.40.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan
barang kawalan dan subsidi digalakkan untuk menyalurkan maklumat melalui
saluran rasmi berikut:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my);
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
PETIKAN KENYATAAN MEDIA :
DATUK AZMAN BIN ADAM
Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup
10 April 2026
