
9 April 2026
KUALA LUMPUR:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 69 warga asing, dengan sebahagian besarnya dikesan bekerja sebagai gadis pelayan (GRO) dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, ibu negara awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata sebanyak 198 individu telah diperiksa dan kesemua warga asing yang ditahan itu kebanyakannya terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan China.
“Kesalahan paling kerap dilakukan adalah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja (termasuk sebagai GRO) dan warga asing yang datang menggunakan pas ini sudah tentu tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di sini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap majikan sekiranya mereka didapati bersalah menggaji warga asing ini dan majikan berkenaan akan turut didakwa,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi tersebut awal pagi ini.
Sumber : digitalbernamatv
