




Oleh : Wartawan JM
5 April 2026
Kerajaan komited untuk meneruskan program penyaluran subsidi diesel
secara bersasar sungguhpun berlaku lonjakan harga diesel disebabkan
krisis tenaga global susulan tercetusnya konflik Asia Barat.
Ini termasuk
subsidi diesel di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang meliputi sektor pengangkutan
darat awam dan sektor pengangkutan darat barangan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyalur
subsidi diesel secara bersasar untuk kedua-dua sektor ini
dilaksanakan melalui Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang
melibatkan penggunaan fleet card.
33 JENIS KENDERAAN DISENARAIKAN LAYAK MENERIMA DIESEL BERSUBSIDI
Beliau berkata, di bawah SKDS, sebanyak 33 jenis
kenderaan disenaraikan layak menerima diesel bersubsidi meliputi 10
jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan 23 jenis kenderaan
pengangkutan darat barangan.
Jelas beliau lagi, syarikat-syarikat pemohon yang diluluskan penyertaan di bawah SKDS
akan mendapatkan fleet card daripada syarikat-syarikat minyak.
Menurut beliau lagi, kenderaan-kenderaan yang didaftarkan boleh memanfaatkan subsidi
diesel pada kadar RM1.88 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat
awam dan RM2.15 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat barangan.
Jelas beliau, sejak pelaksanaan SKDS bermula 10 Jun 2024 sehingga 30 Mac 2026,
sebanyak 150,755 syarikat dan entiti berkelayakan telah mendapat
kelulusan penyertaan dalam SKDS yang melibatkan sejumlah 368,911
kenderaan di seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 93 peratus
merupakan kenderaan pengangkutan darat barangan dan 7 peratus
kenderaan pengangkutan darat awam.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2025, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak
RM3.45 bilion bagi pelaksanaan SKDS meliputi RM3.1 bilion untuk sektor
pengangkutan darat barangan dan RM344.05 juta untuk sektor
pengangkutan darat awam.
“Jumlah ini tidak termasuk program subsidi
diesel lain seperti BUDI Agri-Komoditi, BUDI Individu dan subsidi diesel
nelayan.
Dianggarkan pelaksanaan SKDS bagi tahun 2026 akan melibatkan
implikasi lonjakan tinggi perbelanjaan peruntukan susulan kenaikan harga
diesel di pasaran global.
“Sebagai contoh, pada 26 Februari 2026, harga
diesel dunia adalah AS$93 setong berbanding AS$239 setong pada 31
Mac 2026 yang melibatkan lonjakan harga mencecah 158 peratus, ‘’ katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, unjuran berdasarkan trend kenaikan harga diesel semasa,
jumlah keperluan peruntukan subsidi diesel bagi pelaksanaan SKDS ialah
berjumlah RM2.2 bilion sebulan berbanding jumlah RM3.45 bilion setahun
yang telah dibelanjakan pada tahun 2025.
KPDN MEMPERKUKUHKAN PEMANTAUAN
Jelas beliau lagi, pada masa yang sama, KPDN akan terus memperkukuh pemantauan
dan penguatkuasaan bagi memastikan SKDS dilaksanakan secara telus,
berintegriti serta bebas daripada sebarang ketirisan atau
penyalahgunaan. Kerajaan juga akan terus bekerjasama rapat dengan
semua pemegang taruh industri bagi menambah baik mekanisme
pelaksanaan dari semasa ke semasa.
“KPDN menyeru semua pihak industri yang layak tetapi masih belum
memohon kemudahan subsidi di bawah SKDS untuk segera berbuat
demikian melalui saluran rasmi yang disediakan.
Kerajaan kekal komited
memastikan dasar penyasaran subsidi dilaksanakan secara seimbang,
inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi
negara, ‘’ katanya.
