Jadikan prinsip Maqasid Syariah, Al-Siyāsah al-Syar‘iyyah tunjang utama bertindak – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
3 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar prinsip Maqasid Syariah dan Al-Siyāsah al-Syar‘iyyah dijadikan tunjang utama dalam setiap tindakan, keputusan serta dasar yang dilaksanakan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2026–2030.

Baginda menegaskan bahawa seluruh Ahli Majlis serta jawatankuasa-jawatankuasa MAIPs hendaklah menghayati, memahami dan mengaplikasikan sepenuhnya kedua-dua prinsip tersebut dalam setiap aspek tadbir urus organisasi.

Setiap keputusan yang dibuat perlu benar-benar berteraskan syariah, berorientasikan kemaslahatan, serta menjauhi segala bentuk kemudaratan demi kesejahteraan ummah.

PROGRAM MAIPs PEDULI

Demikian titah Tuanku Raja Muda sempena program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kuala Perlis baru-baru ini.

Kayuhan amal ini merupakan satu inisiatif unik yang menggabungkan aktiviti riadah berbasikal dengan misi kebajikan di Negeri Perlis.

Program ini diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs dengan fokus utama untuk menyantuni golongan asnaf serta menyalurkan bantuan secara terus ke kediaman para penerima.

Sempena edisi kali ini, Baginda berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima iaitu Hassan Abdullah, 88, dari Kampung Perak Kuala Perlis, Aisyah Long, 83, dari Kampung Baru Jalan Sarawak, serta Abdul Mutalib Ali, 44, dari Kampung Nelayan Kuala Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *