PETRA melalui NAHRIM komited pacu inovasi air negara demi kesejahteraan rakyat – Fadillah

Oleh: Sholina Osman
29 MAC 2026

Kementerian Peralihan Tenaga dan
Transformasi Air (PETRA) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan
Malaysia (NAHRIM) komited untuk memastikan sekuriti air negara
sentiasa terpelihara melalui pemerkasaan teknologi dan inovasi
berasaskan saintifik.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tumpuan strategik diberikan kepada penyelesaian isu air secara langsung demi kesejahteraan rakyat Malaysia, selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) melalui
pelaksanaan projek penyelidikan berimpak tinggi di bawah Rancangan
Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Dalam usaha menangani masalah banjir yang menyebabkan kerugian
kepada negara dan menjejaskan aktiviti sosio-ekonomi, PETRA melalui
NAHRIM telah memulakan pendekatan secara saintifik melalui
penubuhan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) sejak akhir
2025,” kata beliau dalam kenyataan media.

Sebagai permulaan, kata Fadillah pasukan FORBiM Kuala Lumpur sedang menjalankan forensik berasaskan data dan bukti saintifik bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir, menilai keupayaan infrastruktur sedia ada, dan seterusnya membolehkan strategi tebatan banjir yang lebih inovatif
termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih efisien.

TEKNOLOGI SIMPANAN AIR

Selain itu, kata beliau pengurusan banjir turut diperkukuh melalui teknologi simpanan air lebihan secara takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan semulajadi dan kolam takungan pelbagai fungsi.

“Beberapa produk tempatan juga sedang dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir kepada komuniti seperti ‘PETRAN (PETRA – NAHRIM) Tembok Penahan
Banjir Automatik’, dan ‘PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih’,” kata Fadillah.

Beliau menjelaskan menyedari hakikat bahawa bekalan air negara bergantung kepada sungai
yang terdedah kepada pencemaran dan kemarau, PETRA menerusi
NAHRIM kini giat meneroka sumber air alternatif bagi mengurangkan
risiko gangguan bekalan kepada pengguna.

“Usaha ini termasuklah menaiktaraf kolam takungan pelbagai fungsi dari sumber air permukaan dan air hujan, mendalamkan takungan dasar sungai dan melaksanakan pemetaan sumber air tanah di seluruh negara,” tambah beliau.

PENYELIDIKAN GIAT DILAKSANAKAN

Fadillah menjelaskan penyelidikan giat dilaksanakan bagi Projek PETRAN-SIDS di lembangan
Sungai Melaka, Pulau Langkawi, Kedah yang mengambil kira gabungan faktor bekalan air, tebatan banjir dan produk eko-pelancongan.

Selain itu, kata beliau penyelidikan teknologi disalinasi atau penyahgaraman bagi penggunaan air laut untuk kegunaan minuman dan industri juga dilaksanakan dengan memberi tumpuan di kawasan pulau terpencil dan komuniti terpinggir.

Pada masa ini, kata beliau produk minuman air hujan terawat berbungkus NAHRIM iaitu PETRAN RAINDROPS dan CLOUDRAIN sudah bersedia ke pasaran melalui pengkomersialan.

“Sumber air permukaan semakin terdedah kepada pencemaran daripada sisa perbandaran, industri dan domestik, termasuk ancaman bahan cemar baharu dan mikroplastik yang sukar dikesan melalui kaedah
konvensional,” ujar beliau.

SUMBER AIR TERPELIHARA

Bagi memastikan kualiti sumber air terpelihara, Fadillah berkata Makmal Kualiti Air (MKA) NAHRIM yang diiktiraf sebagai Makmal Forensik Pencemaran Air ini dilengkapkan dengan dengan peralatan analisis bahan cemar baharu dan penjujukan genom mikrobiologi sehingga 200 parameter.

Jelas beliau NAHRIM turut menerajui aplikasi kecerdasan buatan dan data raya untuk memperkasa usaha pemantauan sumber air secara masa nyata.

“Melalui sistem Artificial Intelligence of River Rating Ranking for Safety, Suitability and Sustainability (AIR3S) yang dibangunkan secara tempatan, tindakan penguatkuasaan dan mitigasi dapat diambil dengan lebih pantas sebelum pencemaran menjadi kritikal,” tambah beliau.

Selain itu, katanya beberapa produk telah turut dibangunkan oleh PETRA dan NAHRIM termasuklah ‘PETRAN Peranti Kualiti Air’, ‘PETRAN Penanda
Rizab Air’, ‘PETRAN Produk Kawalan Sedimentasi Sungai Semulajadi’
dan ‘PETRAN Produk Perlindungan Tebing dan Dasar Sungai’.

IKLIM DAN PEMBANGUNAN

Beliau berkata sebagai adaptasi terhadap impak iklim dan pembangunan pesisir yang
terdedah kepada peningkatan aras laut serta ancaman ombak besar,
NAHRIM turut memulakan penyelidikan Forensik Pantai bagi menilai keberkesanan sistem perlindungan terhadap masalah hakisan pantai dan limpahan air laut.

Fadillah memberitahu produk inovasi tempatan juga sedang dibangunkan bagi meningkatkan kestabilan garis pantai, memperkukuh struktur perlindungan dan ban pantai, serta memastikan kelangsungan proses angkutan endapan pesisir semulajadi.

“Melalui Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) NAHRIM,
aplikasi pemodelan fizikal dapat memberikan cadangan penyelesaian
berdasarkan verifikasi dan reka bentuk yang optimum sebelum
pembinaan sebenar bagi menjamin keselamatan struktur dan keberkesanan kos projek,” tambah beliau.

Selain itu kata Fadillah, PETRA telah mengambil inisiatif strategik untuk mewujudkan Hab Air Kebangsaan yang bertujuan mengintegrasikan penyelidikan, inovasi, dan pengembangan sumber air bagi kepentingan nasional untuk menjadi sebuah Hub Air Serantau menjelang tahun 2040.

MENGGABUNGKAN KEPAKARAN TEKNIKAL

“Dengan komitmen penuh NAHRIM sebagai agensi pelaksana, kerjasama ini menggabungkan kepakaran teknikal dan infrastruktur penyelidikan untuk mengatasi cabaran pengurusan air di Malaysia,” kata beliau.

Melalui komitmen bersama ini, jelas Fadillah, PETRA dan NAHRIM membuktikan dedikasi dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam pengurusan dan penyelidikan sumber air serantau.
”Seiring dengan aspirasi MADANI Bekerja, kajian penyelidikan terus
diperkasa dari masa ke masa di mana PETRA dan NAHRIM beriltizam
untuk memperkasa penyelidikan berasaskan pembuktian saintifik bagi
memacu inovasi air ke arah AIR 2040,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *