
23 Mac 2026
Musim Hari Raya Aidilfitri sering dikaitkan dengan pelbagai hidangan tradisional yang enak seperti rendang, lemang dan kuih-muih.
.
Namun, dalam kemeriahan menyambut Syawal, amalan kesederhanaan dalam pemakanan amat penting bagi memastikan kesihatan kekal terpelihara serta mengelakkan pengambilan kalori berlebihan.
.
Salah satu pendekatan mudah ialah mengamalkan konsep pinggan seimbang, iaitu memastikan separuh pinggan diisi dengan sayur-sayuran, manakala selebihnya terdiri daripada sumber karbohidrat seperti nasi atau lemang serta protein seperti ayam atau daging.
.
Sayur-sayuran seperti bayam, sawi dan kailan membantu melancarkan sistem pencernaan, manakala sayur berwarna seperti lobak merah dan tomato membekalkan antioksidan yang penting untuk kesihatan tubuh.
.
Ulam-ulaman seperti timun dan pegaga pula membantu menyegarkan badan, terutama selepas menikmati hidangan berat.
.
Kaedah memasak juga memainkan peranan penting. Penggunaan teknik seperti mengukus, mencelur atau menumis secara ringkas dapat mengekalkan nutrien dalam makanan serta mengurangkan penggunaan minyak dan santan yang berlebihan.
.
Pendekatan ini selari dengan semangat kesederhanaan yang dituntut dalam sambutan Aidilfitri.
.
Dalam masa yang sama, pemilihan bahan tempatan turut memberi manfaat kepada wira tani barisan hadapan negara yang membekalkan makanan untuk rakyat.
.
Membeli hasil tani tempatan bukan sahaja menjamin kesegaran makanan, malah menyokong pendapatan petani serta menyumbang kepada kelestarian bekalan makanan negara.
.
Aidilfitri bukan sekadar menikmati juadah lazat, tetapi juga peluang untuk mengamalkan pemakanan seimbang, sederhana dan berhemah demi kesejahteraan diri serta kelangsungan sektor agromakanan negara.
