




Oleh: Sholina Osman
14 MAC 2026
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026 telah mengarahkan
pengaktifan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku urus setia.
Beliau berkata pengaktifan jawatankuasa ini adalah susulan daripada peningkatan risiko
ketirisan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel
dan petrol akibat daripada konflik Asia Barat yang telah melonjakkan
harga minyak global.
HARGA RUNCIT DIESEL
“Peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan di Malaysia berlaku kerana harga runcit diesel dan petrol di pam masih jauh rendah berbanding harga pasaran sungguhpun pelarasan kenaikan harga telah dibuat untuk tempoh 12 hingga 18 Mac 2026,” kata beliau dalam kenyataan media.
Jelas Armizan pelarasan harga berkenaan terpaksa dibuat lanjutan daripada peningkatan tinggi harga minyak Brent dunia di paras antara US$90 hingga melebihi US$100 setong minggu sebelumnya berbanding antara US$60 hingga US$70 setong sebelum konflik bermula.
Selain itu, kata beliau risiko ketirisan dan penyeludupan menjadi semakin besar bagi Sabah dan Sarawak kerana pemberian subsidi pukal diesel masih diteruskan.
HARGA PAM DIESEL
Bagi kedua-dua negeri ini, kata Armizan harga pam diesel hanya RM2.15 seliter, berbanding harga pam diesel di Semenanjung Malaysia iaitu
RM3.92 seliter, manakala harga pasaran Automatic Pricing Mechanism (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter.
“Ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos
sebenar,” tambah beliau.
Armizan berkata implikasi tanggungan subsidi Kerajaan ini akan menjadi semakin jauh membesar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.
SUBSIDI PUKAL DIESEL
Manakala implikasi kewangan sedia ada subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak sememangnya telah amat besar.
“Sebagai contoh, bagi tahun 2025,
subsidi pukal diesel yang ditanggung Kerajaan bagi kedua-dua negeri ini
mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak,” kata Armizan.
Beliau menjelaskan berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi Kerajaan ini akan
mencecah RM4.6 bilion bagi tahun 2026.
KONFLIK ASIA BARAT
Sehubungan itu, kata beliau mengambil kira ketidaktentuan konflik Asia Barat dan harga minyak global, salah satu langkah intervensi serta-merta susulan konflik Asia Barat yang diputuskan oleh Jemaah Menteri adalah keperluan untuk memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi penguatkuasaan berkaitan.
Selain kawasan-kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, fokus utama ialah Negeri Sabah dan
Sarawak dengan mengambil kira faktor subsidi pukal diesel yang masih
berkuat kuasa dengan jurang harga subsidi, harga pam dan harga
pasaran yang amat besar melebarkan ruang risiko ketirisan dan
penyeludupan.
Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan
Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang
Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
KESALAHAN BOLEH DIDENDA
Di bawah Akta 122, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih
RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan
berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Manakala, di bawah Akta 613 jika disabitkan kesalahan boleh
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga
boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil
daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa
kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – JM
