Jejak SejaTi MADANI:Mohd Sopian Rintis Tanaman Nanas MD2, Jana Pendapatan Komuniti

Hasilan Nanas MD2 dari ladang Mohd Sopian (kiri). Beliau dibantu oleh anaknya Ahmad Alifh
Lebih 500 kilo Nanas MD2 dihasilkan di Kampung Jimah Baru – Projek SejaTi MADANI

Oleh Noraini Nordin
(Jejak SejaTi MADANI)

14 Mac 2026

`Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Maksudnya ialah seseorang itu tidak akan mencapai cita-cita sekiranya tidak mahu berusaha atau bekerja keras.
Peribahasa tersebut amat bertepatan dengan usaha yang dilakukan oleh sekumpulan anak-anak jati Kampung Jimah Baru, Negeri Sembilan yang kini berjaya dalam penghasilan tanaman nanas MD2 bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Peluang untuk meningkatkan taraf hidup komuniti tidak dipersia-siakan di bawah Program Komuniti MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim semasa Ucapan Belanjawan 2024 .

SejaTi MADANI merupakan inisiatif kerajaan untuk merancakkan aktiviti sosioekonomi sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti setempat di seluruh negara, menerusi pemberian geran sehingga RM100 ribu kepada komuniti yang layak.

Projek SejaTi MADANI memberi tumpuan kepada lima sektor iaitu Pertanian dan Makanan, Jahitan dan Kraf Tangan, Herba dan Kesihatan, Pelancongan dan Hospitaliti serta Aktiviti Hijau dan Kitar Semula.

NANAS MD2 TANAMAN TAHAN LASAK, HASIL BERBALOI

Menyusuri Jejak SejaTi MADANI, penulis meninjau tanaman Nanas MD2 yang telah diusahakan oleh Pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MPKK) Mohd Sopian Ahmad bersama komuniti desa sejak lebih 15 bulan lalu.

Mohd Sopian memilih varieti Nanas MD2 kerana ia adalah tanaman kontan yang tahan kemarau, tidak perlu kerap disiram cukup dengan air hujan atau embun.

Selain itu menurut Mohd Sopian, tanaman nanas juga mudah dijaga dan tahan lasak.

HASILAN PERTAMA

Jelasnya, paling menguntungkan , pokok nanas yang dijaga rapi boleh berbuah semula selepas hasilan pertama dengan membiarkan anak pokok tumbuh menjadikan pelaburan benih yang lebih berbaloi.

Bagi pengemar Nanas, jenis MD2 adalah yang sangat dicari kerana isi kuning keemasan, rasa manis yang sempurna , kandungan vitamin C tinggi serta tidak menyebabkan lidah berasa pedih.

Selain itu tanaman ini juga menawarkan potensi keuntungan berbaloi melalui permintaan pasaran tempatan dan eksport yang tinggi terutama kerana manis dan tahan lama.

PANORAMA YANG MENGHIJAU

Projek SejaTi MADANI yang dirintis oleh Mohd Sopian telah membangkitkan aura yang menyegarkan serta panorama yang menghijau di Kampung Jimah Baru .

Tanaman nanas MD2 tersebut melibatkan keluasan lebih enam ekar tanah penduduk kampung tersebut.

Setiap satu ekar tanah boleh ditanam kira-kira 15 ribu pokok nanas yang sekali gus menjadikan Jimah Baru kini sebagai pengeluar Nanas MD2 yang utama di daerah Port Dickson .

Selain itu Mohd Sopian juga menanam nanas dari jenis yang sama mengggunakan polibag.

“Pada awalnya saya juga ada kegusaran untuk memulakan projek tanaman nanas ini kerana tiada ilmu dan pengalaman.

Namun setelah diberi bimbingan dan menyertai kursus berkaitan tanaman Nanas MD2 saya yakin dapat melaksanakannya. Sokongan padu daripada kawan-kawan terutama komuniti kampung menyuntik semangat untuk mengusahakan projek ini hingga berjaya. Alhamdulilah ..sejak awal puasa buah nanas sudah mula dapat dijual,’’ kata Mohd Sopian 58 tahun.

Menurut Mohd Sopian , sehingga kini lebih 500 kilo buah nanas tersebut dijual melalui promosi di laman media sosial serta jualan rahmah .

“Buat masa ini kami menjual secara runcit walaupun ada juga peraih yang mahu memborong nanas secara pembelian pukal.

Bagi memastikan kelancaran urusan pengutipan hasil serta pemasaran Mohd Sopian dibantu oleh anaknya , Ahmad Alifh, 28 tahun yang juga menetap di kampung tersebut.

Mohd Sopian juga tidak keberatan untuk memberi khidmat nasihat kepada komuniti yang berminat untuk mengusahakan tanaman Nanas MD2.

” Terima kasih Kerajaan MADANI yang sentiasa membantu komuniti menambah pendapatan.
“Saya sendiri sedia memberi bimbingan kepada penduduk desa yang berminat dengan tanaman ini. Asalkan gigih serta rajin. Pasti membuahkan hasil,” jelas Mohd Sopian yang tidak jemu berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat dalam bidang pertanian.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *