






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
9 MAC 2026
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melaksanakan projek inovasi agromakanan menerusi penggunaan Kaedah MyNutriCapsule Irrigation System di pekarangan Masjid As-Sobirin Kampung
Gial sebagai usaha memperkasa pertanian komuniti secara moden, sistematik, dan mampan.
Projek tersebut memanfaatkan teknologi sistem pengairan yang menggabungkan penggunaan kapsul nutrien khas bagi membekalkan baja secara terkawal terus kepada tanaman.
Kaedah ini bukan sahaja membantu meningkatkan kadar pertumbuhan tanaman, malah berupaya menjimatkan penggunaan air, serta mengurangkan pembaziran baja.
KAWASAN PERSEKITARAN MASJID
Pelaksanaan projek inovasi ini turut dilihat sebagai pendekatan baharu dalam memanfaatkan kawasan persekitaran masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, khususnya dalam bidang agromakanan.
Inisiatif berkenaan berpotensi memberi manfaat kepada kariah setempat melalui penghasilan sumber makanan segar, selain membuka ruang kepada aktiviti pendidikan serta latihan pertanian moden.
Selain itu, projek berkenaan turut menyokong usaha memperkukuh sekuriti makanan di peringkat komuniti, serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pertanian yang lebih efisien dan berteraskan teknologi.
MENANAM ANAK POKOK
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan tapak serta menyempurnakan simbolik menanam anak pokok terung berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif inovasi agromakanan tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor.
Penerangan mengenai projek berkenaan telah dipersembahkan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Cawangan Perlis, Wan Nurshazelin Wan Shahidan.
Projek berimpak komuniti ini menerima pembiayaan daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui inisiatif Geran Komuniti@UniMADANI.
MAJLIS HIJRAH MINDA
Dalam program yang sama terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan Majlis Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di masjid berkenaan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Raja Muda yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Agihan Zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada asnaf terpilih.
Sumbangan tersebut memberi manfaat kepada 30 orang asnaf yang merupakan anak kariah Kampung Gial dengan setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM700 seorang. – JM
