
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 MAC 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan wanita adalah nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat dan penggerak penting kemajuan negara.
Jelas beliau di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat yang sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan yang lebih baik.
“Secara peribadi, saya amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupan saya sendiri, khususnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran dan dukungan sepanjang perjalanan perjuangan ini,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Sesungguhnya, kata Perdana Menteri kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara, para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara tercinta.
“Sempena Hari Wanita Antarabangsa, marilah kita bersama-sama menghargai peranan dan sumbangan besar wanita, serta memastikan mereka terus dihormati, diperkasa dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara. Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,” kata Anwar. – JM
