







Oleh: Sholina Osman
8 MAC. 2026
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup hampir 16,500 unit pelbagai jenis alat peranti rokok elektronik (vape) ke negara jiran melalui jalan laut.
Pengarah Maritim Negeri Kedah/ Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata sebanyak 58 kotak berisi vape ini ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang, Perlis awal pagi semalam (7 Mac).
Beliau berkata kes ini terbongkar ekoran penahanan sebuah lori yang disyaki membawa barangan tanpa pengikraran yang sah.
“Ia hasil operasi yang dijalankan sekitar pukul 1.15 pagi semalam (7 Mac) Bot PERKASA 1227 yang melakukan rondaan rutin Op AMAN, Op TIRIS 3.0, Op GUARD dan Op KHAS PAGAR LAUT melalui maklumat risikan gabungan Zon Maritim Kuala Perlis, Maritim Negeri Kedah dan Perlis serta Zon Maritim Kuala Kedah,” kata beliau pada sidang media di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini.
HASIL PEMERIKSAAN LANJUT
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati, di dalam
lori berkenaan terdapat seorang pemandu bersama dua orang pekerja warga tempatan berumur antara 19 hingga 47 tahun tahun.
“Kotak yang berisi vape itu diletakkan di jeti berkenaan di mana ia akan dipungut oleh sebuah bot yang datang dari Thailand,” kata beliau.
Bagaimanapun katanya pada masa kejadian, dua lelaki yang berada di dalam bot berkenaan bertindak membaling kotak berkenan ke dalam laut sebelum melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Romli berkata, pihaknya kemudiannya memugut kotak yang jatuh ke laut dan baki kotak yang masih ada di jeti dan di dalam lori yang kesemua berjumlah 58 kotak.
RAMPASAN TERMASUK KENDERAAN
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan pula dianggarkan melebihi RM500,000,” katanya.
Kesemua barangan rampasan bersama tiga Orang Yang Disyaki (OYDS) telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kesemua telah dibebaskan dengan jaminan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengimport atau memiliki barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
TIDAK AKAN BERKOMPROMI
Romli menegaskan, pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan di perairan negara bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tambah Romli.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera atau talian kecemasan 999 dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negara. – JM
