Malaysia dan Pakistan gesa semua pihak yang terlibat dalam ketegangan Timur Tengah segera hentikan serangan

5 Mac 2026

Malaysia dan Pakistan menggesa semua pihak yang terlibat dalam ketegangan di Timur Tengah segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persefahaman itu dicapai melalui perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif apabila kedua-dua pemimpin berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

BERKONGSI KEBIMBANGAN

‘ Petang tadi, saya menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dan kami bertukar pandangan berhubung perkembangan di Asia Barat.

“Kami berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat. Saya menegaskan bahawa tindakan ini merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB, ” kata PMX .

Anwar berkata, mereka turut senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Jelas PMX lagi, pada masa sama, PM Shehbaz memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan, serta berkongsi pandangan tentang inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara.

” Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan. Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik, ” kata PMX lagi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *