Masyarakat Tionghoa bangga Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis hadir sambutan Chap Goh Meh

Oleh: Sholina Osman
4 MAC 2026

Masyarakat Tionghoa di Kangar menzahirkan rasa bangga dan terharu atas keprihatinan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang sudi berangkat menyantuni mereka sempena Majlis Sambutan Chap Goh Meh DUN Indera Kayangan 2026 yang berlangsung di pekarangan parkir pasar raya Ten Ten, Kangar.

Kunjungan mesra ke Jalan Jubli Perak ini jelas memperkukuh ikatan antara pihak istana dan rakyat pelbagai kaum di negeri tersebut.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang menambah bahawa bahawa penganjuran sambutan tersebut bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya menjadi lambang kebersamaan erat antara institusi Raja yang disayangi, kepimpinan negeri, agensi kerajaan dan rakyat negeri Perlis.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja dan juga Penasihat Persatuan Chenshi Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Perlis Tan Heng Teong.

MEMPERKUKUH JALINAN SILATURAHIM

Majlis anjuran Persatuan Chenshi Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Perlis itu diadakan sebagai wadah menyemarakkan sambutan Chap Goh Meh di samping memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Gan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan Negeri Perlis yang sentiasa mempamerkan semangat muafakat dan kesatuan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

β€œInilah wajah sebenar Perlis, sebuah negeri yang harmoni dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” ujar beliau sambil menyeru agar semangat perpaduan terus diperkasakan demi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif, mampan dan berkesan.

MENGGAUL ‘LAO SHANG’

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dengan menggaul ‘Lao Shang’ sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh perpaduan masyarakat.

Majlis sambutan itu diserikan dengan pelbagai persembahan menarik antaranya persembahan pancaragam, tarian bunga klasik tradisional Cina, persembahan Chenshi Taichi, serta persembahan gendang Ethereal.

Sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di negeri Perlis, selaras dengan aspirasi untuk terus memupuk kesejahteraan serta kemakmuran bersama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *