Inovasi solar FKTE UniMAP bantu petani Kampung Kersek, Mata Ayer selesaikan masalah pengairan

Oleh: Sholina Osman
26 FEB. 2026

Hasil penyelidikan serta konsultansi Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik (FKTE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disambut dengan penuh kesyukuran oleh sekumpulan petani dalam komuniti pertanian di Kampung Kersek, Mata Ayer, Perlis.

Inisiatif ini telah membolehkan mereka kini mampu menarik nafas lega apabila sistem pam air berkuasa solar yang dihasilkan telah mula beroperasi bagi menyokong aktiviti pengairan mereka.

Dekan FKTE UniMAP, Profesor Madya Ir. Dr. Shamsul Bahar Yaakob berkata Projek tersebut dilaksanakan melalui kolaborasi kepakaran teknikal UniMAP bersama sokongan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kersek serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

”Lebih membanggakan, projek ini turut mendapat dana penyelidikan daripada IEEE HTB SIGHT serta sokongan teknikal daripada Gansu Natural Energy Research Institute (GNERI), menjadikannya satu inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan kepakaran akademik, agensi teknikal dan komuniti,” kata beliau.

MEMPERLUASKAN PENGGUNAAN TENAGA

”Pemindahan teknologi seperti ini selari dengan usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta menyokong pembangunan mampan negara sekaligus membuktikan penyelidikan universiti mampu memberi impak langsung kepada masyarakat luar bandar,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek di MPKK Kersek, di sini.

Tambah beliau, sebelum ini sebahagian petani bergantung sepenuhnya kepada pam berasaskan petrol atau diesel yang memerlukan perbelanjaan berterusan, terutama ketika musim kemarau apabila keperluan air meningkat.

Dengan penggunaan tenaga matahari sebagai sumber utama, kos operasi dapat dikurangkan secara signifikan sekali gus meningkatkan margin keuntungan hasil tani.

”Selain penjimatan kos, sistem ini turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan mempromosikan amalan pertanian yang lebih mesra alam.

PEMASANGAN PERKAKASAN TEKNOLOGI

Lebih penting, projek ini bukan sekadar pemasangan perkakasan teknologi, tetapi satu anjakan paradigma ke arah pembentukan ekosistem pertanian pintar yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Beliau turut meninjau operasi sistem pam solar yang telah dipasang serta berinteraksi dengan komuniti setempat mengenai manfaat teknologi tersebut dan memberi gambaran jelas bagaimana inovasi dari kampus dapat diterjemahkan secara praktikal untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti tani.

Sementara itu, Ketua Projek, Ir. Dr. Muzaidi Othman@Marzuki berkata sistem pam solar ini dibangunkan sebagai alternatif yang lebih ekonomik dan lestari berbanding penggunaan pam konvensional berasaskan petrol.

”Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos bahan api, malah menyediakan penyelesaian pengairan yang lebih stabil dan berdaya tahan dalam jangka panjang.

16 PANEL SOLAR

Dari segi teknikal, sistem ini menggunakan susunan 16 panel solar dengan kapasiti sekitar 7.2 kilowatt (kW) bagi menjana tenaga elektrik untuk menggerakkan pam air tenggelam berkapasiti 3 kW,” katanya.

Tambah beliau, sistem tersebut turut dilengkapi panel kawalan elektrik serta pemacu frekuensi boleh ubah bagi memastikan operasi pam lebih stabil dan cekap.

”Selain itu, teknologi pemantauan berasaskan Internet of Things (IoT) digunakan untuk merekod parameter seperti voltan, arus, kelajuan pam dan kadar aliran air secara masa nyata, sekali gus memudahkan penyelenggaraan serta pemantauan prestasi sistem.

”Pelajar dan penyelidik universiti turut terlibat dalam proses pemasangan, pemantauan serta latihan komuniti, sekali gus memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar manakala komuniti setempat pula diberikan pendedahan berkaitan pengendalian serta penyelenggaraan sistem bagi memastikan teknologi ini dapat dimanfaatkan secara berterusan, ” ujar beliau.

Kejayaan projek ini memperlihatkan bagaimana sinergi antara universiti, agensi teknikal dan komuniti mampu menghasilkan impak nyata kepada ekonomi desa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *