Kedutaan Besar Malaysia di Paris akan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan Ramadan, Syawal

Oleh: Sholina Osman
24 FEB. 2026
Foto Ihsan MAIPs

Sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini, Kedutaan Besar Malaysia di Paris akan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini.

Bagi bulan puasa ini Program Ihya’ Ramadan, Program Infaq kepada masjid-masjid sekitar Paris, Majlis Berbuka Puasa bersama pelajar-pelajar Malaysia, serta aktiviti tadarus al-Quran akan diadakan secara berkala.

Program-program ini bukan sahaja menyemarakkan suasana Ramadan dalam kalangan rakyat Malaysia di perantauan, malah mengukuhkan lagi hubungan erat dengan komuniti Islam tempatan.

Bagi menyambut bulan Syawal nanti pula, pihak Kedutaan Besar akan melaksanakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama rakyat Malaysia di Paris.

MENJADI PLATFORM PENTING

Penganjuran rumah terbuka ini menjadi platform penting untuk mempereratkan lagi silaturahim, memupuk semangat muhibah, serta menampilkan keindahan budaya dan tradisi Malaysia kepada masyarakat setempat.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dikongsikan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Beliau menerima simbolik sumbangan ‘Bantuan Ibnu Sabil’ bagi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Paris berjumlah RM5,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) disempurnakan penyerahannya oleh Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Turut berangkat ialah anakanda-anakanda Baginda berdua, iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Mengiring sama, Setiausaha Pertama, Mohd Nizam Halimi, dan Setiausaha Kedua, Aida Anum Aminuddin.

TABUNG IBNU SABIL

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab berterusan MAIPs dalam melaksanakan agihan Tabung Ibnu Sabil di luar negara melalui beberapa pejabat Perwakilan Malaysia yang terpilih.

Sumbangan tersebut bertujuan membantu rakyat Malaysia di Perancis yang berdepan situasi kecemasan, terputus sumber sara diri atau terkandas untuk kembali ke tanah air atau meneruskan perjalanan.

Tambah Eldeen Husaini, pihak MAIPs juga berhasrat untuk terlibat sama dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia dalam program Infaq kepada masjid-masjid sekitar Paris dalam bulan Ramadan kali ini atau pada tahun hadapan melalui usaha ‘From Perlis To Paris’ dengan kerjasama beberapa penyumbang dan rakan strategiknya yang berminat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *