



Oleh: Sholina Osman
22 FEB. 2026
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi membolehkan wanita di Perlis mempelopori pembuatan bongkah cendawan sisir berasaskan kenaf.
Beliau berkata, peluang ini perlu direbut oleh wanita di negeri ini bagi menambah pendapatan kerana pembuatan bongkah cendawan sisir kini mendapat permintaan tinggi di
pasaran.
“Daripada tanaman cendawan sisir dari bongkah ini pula dapat dihasilkan pelbagai produk makanan,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Minda Sihat Sahsiah Hebat Bersama Wanita Negeri Perlis di Hotel Putra Regency Kangar hari ini.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO berkata beliau melihat potensi pasaran pembuatan bongkah cendawan ini selepas melawat kilang pembuatan bongkah kulat sisir yang diusahakan oleh Rosnani Daud di Chuping, Perlis.
MEDIA SERBUK KENAF
Beliau kagum dengan keupayaan wanita ini menggunakan media serbuk kenaf sebagai bongkah tanaman kulat sisir sehingga mendapat sambutan luar biasa.
“Saya difahamkan wanita ini terpaksa memberhentikan iklan bongkah ini di TikTok kerana tidak dapat menampung permintaan, ” kata Noraini.
Lebih membanggakan kata Noraini, wanita ini berjaya mengait pulangan lumayan hasil jualan bongkah kulat sisir yang mendapat tempahan dari seluruh negara.
Noraini berkata dengan peruntukan ini beliau berharap akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh wanita yang terlibat.
“Ia mudah dilakukan oleh wanita sebagai kerja sampingan tetapi mampu menambahkan pendapatan dengan mudah,” kata beliau lagi.
Noraini berkata bekalan kenaf tiada masalah kerana Perlis antara pengeluar utama di negara ini. – JM
