STOK DARAH HUS TURUN MENDADAK, 80 BEG DIPERLUKAN SEHARI

KUCHING, 20 FEB – Stok bekalan darah di Tabung Darah Hospital Umum Sarawak HUS menunjukkan penurunan mendadak minggu ini.

Menurut kenyataan di laman Facebook Tabung Darah HUS, penurunan ini berikutan peningkatan penggunaan darah, khususnya melibatkan kes pendarahan akibat kemalangan.

”Situasi menjadi lebih mencabar apabila jumlah penderma turut berkurangan susulan cuti Tahun Baharu Cina serta permulaan ibadah puasa Ramadan,” dedah kenyataan itu.

Katanya, apabila permintaan melebihi bekalan, stok darah akan menurun dengan cepat.

”Ketika ini, hospital berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya 75 hingga 80 beg darah setiap hari bagi menampung keperluan pesakit di Hospital Umum Sarawak sahaja, tidak termasuk hospital daerah dan hospital swasta,” tambah kenyataan itu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penderma darah kumpulan A, B, O dan AB yang telah cukup tempoh pendermaan diseru tampil membantu menstabilkan semula bekalan darah.

Sementara itu, bagi penderma Muslim yang berpuasa, mereka dinasihatkan merancang waktu yang sesuai mengikut tahap kesihatan masing-masing.

Orang ramai boleh hadir menderma di Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak yang akan dibuka pada Sabtu dan Ahad ini, seawal pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Selain itu, kempen derma darah bergerak turut diadakan di Aeroville Mall pada Sabtu dan di St Ann Church pada Ahad ini.

Pihak hospital berharap sasaran kutipan harian dapat dicapai bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.

DEBBIE AMANDA

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *