PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN DALAM NEGERI DAN IHYA’ RAMADAN

Putrajaya, 19 Februari 2026 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, telah menghadiri Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya’ Ramadan yang berlangsung di Auditorium Setia Perkasa 8.

Perhimpunan ini diadakan sebagai wadah memperkukuh semangat kebersamaan, menyantuni warga kementerian serta menyampaikan amanat kepimpinan tertinggi negara dalam menggerakkan agenda reformasi, pengukuhan keselamatan dalam negara dan pemerkasaan nilai MADANI dalam perkhidmatan awam.

Program ini turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri; dan YBhg. Datuk Seri Nor Azmie bin Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri; YBhg. Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi); Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri; Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri; serta warga kementerian.

Atur cara dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, bacaan Ikrar Rukun Negara dan bacaan doa, diikuti ucapan oleh Menteri Dalam Negeri sebelum amanat disampaikan oleh YAB Perdana Menteri kepada warga KDN. Program turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, yang menekankan kepentingan penghayatan nilai-nilai Ramadan dalam memperkukuh integriti dan amanah dalam kalangan penjawat awam.

Selain sesi ramah mesra bersama warga kementerian, YAB Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KDN bagi membincangkan hala tuju strategik kementerian dalam memperkukuh keselamatan dalam negara, memperkasa tadbir urus berintegriti serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negara dan warga KDN dalam memperkukuh semangat kebersamaan, menghayati nilai-nilai murni Ramadan serta menunaikan amanah dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

MADANIBekerja

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *