

Wartawan JM
17 FEB. 2026
Kementerian Luar mengesahkan Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, seorang warganegara Malaysia yang awalnya dilaporkan hilang di Jepun sejak 2 Disember 2025 dalam tahanan Balai Polis Toyama Minami.
Kenyataan media Kementerian Luar yang juga dikenali Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah segera mengambil langkah untuk mengesan keberadaan Muhammad Faiq serta mengesahkan status beliau sejurus menerima laporan mengenai kehilangannya.
Ia termasuk mengadakan perhubungan secara langsung dengan Kementerian Luar Negeri Jepun dan pihak berkuasa penguatkuasaan tempatan.
LAPORAN MEDIA TEMPATAN
Usaha-usaha tersebut telah dilaksanakan sebelum dan juga selepas laporan media tempatan bertarikh 23 Januari 2026 mengenai status Muhammad Faiq.
Kementerian ini ingin menjelaskan prosedur berhubung pemberitahuan penahanan ini.
Sebagai sebuah negara berdaulat, Jepun mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undangnya dalam sempadannya.
Di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963, yang turut ditandatangani oleh Jepun, pemberitahuan kepada Kedutaan asing mengenai penahanan seseorang individu bukanlah dibuat secara automatik; ia merupakan hak yang dilaksanakan atas permintaan individu yang ditahan.
PIHAK BERKUASA JEPUN
Selain itu, pihak berkuasa Jepun adalah tertakluk kepada Akta Perlindungan Maklumat Peribadi.
Undang-undang ini mengklasifikasikan status penahanan sebagai maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga, termasuk perwakilan diplomatik, tanpa persetujuan jelas individu berkenaan.
Kedutaan telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa penyiasatan di Toyama bahawa pada ketika tersebut, persetujuan yang diperlukan untuk mendedahkan maklumat kepada Kedutaan tidak diberikan oleh Muhammad Faiq.
Sehubungan itu, pihak berkuasa Jepun adalah terhalang dari segi undang-undang untuk memaklumkan penahanan tersebut kepada Kedutaan Malaysia atau memberikan butiran lanjut mengenai siasatan.
MENERIMA PENGESAHAN RASMI
Setelah menerima pengesahan rasmi mengenai penahanan daripada pihak berkuasa Jepun, Kementerian ini telah segera memaklumkan waris terdekat dan akan terus berhubung dengan pihak keluarga bagi memastikan mereka menerima perkembangan terkini melalui saluran rasmi.
Kementerian ini, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, juga terus memantau situasi ini dengan rapi.
Pegawai konsular sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada Muhammad Faiq, termasuk memudahcara komunikasi serta memastikan kebajikan beliau, tertakluk kepada persetujuan beliau dan selaras dengan undang-undang Jepun.
TIDAK BOLEH CAMPUR
Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa Kedutaan tidak boleh campur tangan dalam prosiding kehakiman sesebuah negara berdaulat atau menuntut pembebasan seseorang tahanan.
Kementerian Luar Negeri kekal komited sepenuhnya terhadap kebajikan warganegara Malaysia di luar negara.
Rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di luar negara diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan negara tuan rumah. – JM
