





Oleh: Sholina Osman
17 FEB. 2026
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis telah mengeluarkan dua saman ke atas sebuah lori kargo dan sebuah lori kontena kerana melanggar arahan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan.
Pengarahnya Noraini Mohd Nawi berkata ia hasil dari Operasi Penguatkuasaan Tahun Baru Cina 2026 yang diadakan pada 14 dan 15 Februari serta 21 dan 22 Februari 2026.
“Kenderaan tersebut telah didapati bergerak di antara pukul 1 pagi hingga sehingga 2 pagi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” kata beliau dalam kenyataan media.
Sehubungan itu kata Noraini JPJ Perlis telah mengeluarkan notis saman kepada pemandu dan pemilik kenderaan serta notis penahanan kenderaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
ARAHAN YANG DIKELUARKAN
“JPJ Negeri Perlis memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap arahan yang dikeluarkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” tambah beliau.
Noraini berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi pemantauan dan
penguatkuasaan bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau mengingatkan orang ramai dan pengusaha kenderaan barangan supaya sentiasa peka terhadap arahan larangan yang dikeluarkan dan memberikan kerjasama sepenuhnya demi keselamatan serta kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.
“JPJ Negeri Perlis juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan boleh membuat laporan aduan secara terus menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my
beserta dengan butiran lengkap aduan,” tambah beliau lagi. – JM
