





Oleh: Sholina Osman
14 FEB 2026
Pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku keempat (S4 2025) telah mencatat sebanyak 6.3 peratus sebagai tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awalan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata momentum ini mendorong pertumbuhan KDNK tahun 2025 kepada 5.2 peratus (2024: 5.1 peratus) dan melangkaui unjuran rasmi Kerajaan antara 4 peratus hingga 4.8 peratus.
“Untuk dua tahun berturut-turut, Kerajaan MADANI berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal, mencatat 3.7
peratus pada tahun 2025 (2024:4.1 peratusberbanding unjuran awal 3.8 peratus,” kata Anwar dalam kenyataan media.
MAKROEKONOMI YANG KUKUH
Anwar yang juga Menteri Kewangan, menzahirkan bahawa indikator makroekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dengan pencapaian kadar pengangguran terendah (2.9% peratus) dalam tempoh lebih sedekad serta kadar inflasi yang rendah pada tahun 2025 pada 1.4 peratus (2024: 1.8 peratus),
Menurut beliau, penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di samping komitmen berterusan Kerajaan terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, semakin ketara bahawa penyampaian yang jelas bagi rangka kerja dasar, seperti yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI, diikuti dengan pelaksanaan berterusan pembaharuan yang sukar, telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
SEBAGAI MATA WANG
Jelas beliau ini dicerminkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun.
“Walaupun Kerajaan MADANI mengiktiraf kemajuan yang dicapai setakat ini, kita tidak boleh leka – bukan hanya ketika mendepani rintangan global dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing yang terus mempengaruhi kehidupan kita,” tambah beliau.
“Adalah penting untuk kita sentiasa kekal dalam landasan pembaharuan Ekonomi MADANI, sekali gus menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperteguh tekad kita untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi, membasmi rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat dan menambah baik mudah cara dalam menjalankan perniagaan,” kata Anwar.
EKONOMI DIJANGKA KEKAL
Jelas beliau pada tahun 2026, ekonomi dijangka kekal pada trajektori yang stabil disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, penggunaan isi rumah yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan.
Perdana Menteri berkata aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna.
Beliau berkata Belanjawan 2026 akan meletakkan asas kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030 di samping dasar utama lain bagi menggalakkan pengembangan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Pada masa yang sama, kata Anwar Kerajaan MADANI akan terus berpegang teguh kepada disiplin fiskal dalam melindungi kemampanan jangka masa panjang tatkala menyokong momentum pertumbuhan. – JM
