



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 FEB 2026
Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil. 1/2026 bersetuju dengan cadangan dasar baharu Rang Undang-Undang Jenayah Siber.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk peruntukan menangani penyalahgunaan Kecerdasan Buatan (AI) seperti deepfake, penyebaran imej intim serta aspek pengekalan data komputer bagi tujuan siasatan.
“Dalam iklim geopolitik yang tidak menentu, agenda keselamatan siber negara akan terus diperkasa melalui kerjasama strategik seluruh pemegang taruh demi menjamin keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara,” kata beliau dalam hantaran di FB.
MEMPERKUKUH KESIAPSIAGAAN NEGARA
Terdahulu Anwar yang mempengerusikan Mesyuarat JKSN Bil. 1/2026 bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks.
Mesyuarat meneliti kemajuan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) sebagai entiti berpusat yang menyatukan fungsi Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dan CyberSecurity Malaysia sebagaimana diluluskan Jemaah Menteri.
Melalui penstrukturan ini, beliau berkata PTPKM akan mempunyai penempatan institusi tetap, manakala fungsi dan sumber CSM dipusatkan di bawah CSCDC yang ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri, di bawah kawal selia NACSA dan Majlis Keselamatan Negara sebagai sayap teknikal serta operasi. – JM
