KPN TINJAU PUSAT OPERASI NCSC KOREA SELATAN, PERKUKUH KERJASAMA KESELAMATAN SIBER SERANTAU

Seoul, 5 Februari 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini mengetuai delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan lawatan kerja ke National Counter Scam Center (NCSC), Korea Selatan bagi meninjau secara langsung struktur operasi serta pendekatan strategik yang dilaksanakan dalam menangani kes penipuan kewangan dalam talian.

Ketibaan delegasi PDRM telah disambut oleh Ketua Pengarah NCSC Korea Selatan, Hyo Seob Shin, yang seterusnya menyampaikan taklimat terperinci mengenai model operasi NCSC.

Taklimat tersebut merangkumi mekanisme kerjasama antara agensi, penggunaan teknologi analitik data bersepadu serta pelaksanaan sistem respons pantas dalam menangani ancaman jenayah siber di negara berkenaan.

PERKONGSIAN MAKLUMAT

Berucap dalam lawatan yang diadakan, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid merakamkan penghargaan atas perkongsian maklumat yang diberikan serta menzahirkan hasrat untuk memperkukuh kerjasama strategik antara NCSC Korea Selatan dan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) Malaysia. Kerjasama tersebut merangkumi aspek perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi, latihan serta amalan terbaik bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan dalam menangani jenayah penipuan rentas sempadan.

Delegasi PDRM tidak ketinggalan mengadakan lawatan ke Seoul Metropolitan Police Agency bagi memperkukuh hubungan dua hala antara PDRM dan agensi tersebut, khususnya dalam bidang pengurusan jenayah bandar, teknologi keselamatan pintar, sistem respons kecemasan serta kepolisan komuniti ke arah meningkatkan keselamatan komuniti bandar.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato’ M. Kumar S. Muthuvelu, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, SAC Koh Seok Keng, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) JSJK Bukit Aman, ACP Zulkeflee Sulaiman serta ACP Loh Pey Pey, ACP Perhubungan Antarabangsa, Urus Setia KPN Bukit Aman.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *