




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
5 FEB. 2026
Universiti harus menjadi ruang melarai polarisasi, tidak sekadar kilang melahirkan tenaga kerja, tetapi harus menjadi taman ilmu yang mempertunjuk keluasaan akal fikiran dan nurani yang punyai kesedaran dan kepekaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya anak muda di negara ini memiliki kekuatan untuk menolak pemikiran yang menyimpang dan yang memicu pertelingkahan.
“Walhasil, kepimpinan masa depan tidak boleh dibina atas dasar kebencian atau keangkuhan intelektual; malah ia harus berakar pada ihsan dan rasa tanggungjawab kepada leluhur negara,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
Terdahulu beliau hadir pada program Temu Anwar di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di Kuala Lumpur.
MENGHADAPAPI ARUS AI
Anwar berkata dalam menghadapi arus AI beserta tantangannya, kita mesti mengakar ke bumi sambil menggapi ke langit, dan memastikan kemajuan tidak menjadikan manusia sebagai makhluk yang asing kepada dirinya sendiri.
“Dalam wacana pendidikan serta kepemimpinan negara, acapkali saya ingatkan bahawa kemajuan tidak sekadar menekankan persaingan mahupun perlumbaan menguasai teknologi baru, malah ia turut mencakup persoalan mengenai pemerkasaan insan yang utuh,” kata beliau.
Jelas beliau seperti yang diingatkan oleh pemikir dan filasuf besar Sepanyol José Ortega y Gasset tentang gejala “barbarism of specialization” yakni ia merupakan satu gejala di mana kita sekadar melahirkan generasi yang hanya mahir dalam bidangnya tetapi tandus dan kontang jiwa, hilang kefahaman mengenai sejarah serta nilai yang membentuk kemanusiaan.
MESTI MENJADI WAHANA
Lantaran itu, pendidikan mesti menjadi wahana yang menjamin keseimbangan di antara kecerdasan intelektual dan adab, antara kemajuan dan pensejarahan bangsa.
Sebuah Malaysia yang madani menuntut kita melangkaui sempadan disiplin yang sempit.
“Saya percaya anak muda di negara ini memiliki kekuatan untuk menolak pemikiran yang menyimpang dan yang memicu pertelingkahan,” tambah beliau.
Bagi mengelak masyarakat terpecah, maka kita mesti menyemarak budaya wacana yang sihat dan kefahaman lintas bidang, sama ada sains bertemu falsafah, atau teknologi berpadu dengan kemanusiaan. – JM
