Pentingnya penglibatan sektor swasta dalam program Pemberdayaan Komuniti – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
31 JAN. 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa penglibatan sektor swasta menerusi program Pemberdayaan Komuniti amat penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah serta usahawan mikro.

Menurut Baginda, inisiatif seumpama ini bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi setempat, malah memberi sumbangan langsung ke arah pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan dan mampan.

“Komitmen berterusan sektor swasta, khususnya UEM Group melalui sayap kebajikannya, Yayasan UEM, terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negeri Perlis menerusi pelaksanaan inisiatif jangka panjang yang berteraskan pendidikan serta pemerkasaan pembangunan dan sosioekonomi usahawan mikro tempatan,” titah Baginda lagi.

PROGRAM YAYASAN UEM

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program Yayasan UEM di Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Yayasan UEM, Datuk Noorazman Abd Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Datuk Amran Hafiz Affifudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor.

Dalam ucapannya, Aishah Nor memaklumkan bahawa bermula tahun 2025, UEM Group menerusi Yayasan UEM telah memulakan penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat lebih mampan dan berimpak jangka panjang di negeri ini. Antara bidang utama yang diberikan penekanan ialah sektor pendidikan.

PENDIDIKAN DI PERLIS

Beliau berkata, meskipun pengurusan pendidikan di Perlis telah berada pada tahap yang baik, sokongan tambahan diyakini mampu memberi nilai tambah yang signifikan.

Sehubungan itu, Yayasan UEM telah melaksanakan Program Tuisyen SPM serta Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun lalu dengan peruntukan tajaan berjumlah RM350,000, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 860 orang pelajar.

Tahun 2025 turut menyaksikan peluasan Program Pembangunan Usahawan Yayasan UEM ke negeri Perlis. Di Perlis, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), serta Universiti Utara Malaysia (UUM).

SELAMA DUA TAHUN

Seramai 15 orang usahawan mikro daripada golongan B40 telah dipilih untuk menyertai program selama dua tahun ini, yang merangkumi bantuan berbentuk barangan serta bimbingan latihan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM250,000.

Pada hari yang penuh bermakna ini, Yayasan UEM turut menganjurkan Program Back-to-School melibatkan seramai 150 orang pelajar yang memerlukan.

Selain itu, Yayasan UEM juga bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mengenal pasti 150 orang daripada golongan asnaf untuk menerima agihan bantuan Ramadan pada hari yang sama.

TELAH BERGANDING BAHU

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua rakan strategik Yayasan UEM yang telah berganding bahu untuk melaksanakan pelbagai program CSR di negeri Perlis bagi tahun ini.

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan simbolik penyampaian barangan kembali ke sekolah kepada 15 orang pelajar, dan juga penyampaian sumbangan Yayasan UEM sebanyak RM 50,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diterima oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Tuanku Raja Muda juga berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah penuh RM105,000 serta Yayasan UEM RM150 tunai setiap seorang dan kotak makanan kepada seramai 150 orang asnaf terpilih.

Setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM700 dari MAIPs yang terdiri daripada 75 orang anak kariah Behor Empiang dan 75 orang lagi dari kalangan anak Kariah Alwi Kangar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *