UPSI tubuh Galeri Razak Sensei, rakyat Malaysia terselamat bom Hiroshima

Wartawan JM
31 JAN. 2026

Penubuhan Galeri Razak Sensei di bawah kelolaan Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi inisiatif baharu universiti pendidikan tersohor itu menterjemahkan nilai, sejarah dan kemanusiaan sejagat dalam pembinaan jiwa pendidik merentas generasi.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penerapan konsep JIWA UPSI dapat membina jiwa pendidik asas kepada kelestarian universiti pendidikan itu menjelang 2026 yang sejajar dengan aspirasi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, namun beretika dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata inisiatif MPN mewujudkan Galeri Razak Sensei mencerminkan komitmen UPSI terhadap pendidikan berkualiti, keamanan dan kemanusiaan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat.

TERISI DENGAN PAMERAN

Beliau berkata Galeri Razak Sensei dijadualkan akan dibuka kepada umum pada Mac 2026 nanti bakal terisi dengan pameran memorial dan pendidikan yang mengangkat ketokohan Allahyarham Razak Sensei sebagai pendidik unggul, selain simbol ketahanan jiwa, kelestarian ilmu dan kemanusiaan sejagat.

“Usaha penubuhan galeri ini mendapat sokongan penuh waris Allahyarham, khususnya Tan Sri Profesor Emeritus Dzulkifli Abdul Razak , yang turut menyumbang artifak dan bahan pameran asli merangkumi dokumen peribadi, foto sejarah, manuskrip penulisan serta koleksi buku yang merakam pemikiran, perjuangan dan ketokohan Razak Sensei sebagai pendidik berjiwa besar,” katanya.

Beliau berkata Razak Sensei antara pelajar awal Sultan Idris Training College (SITC), institusi yang menjadi asas penubuhan UPSI, selain dikenali sebagai mangsa terselamat tragedi bom atom Hiroshima, satu peristiwa kemanusiaan yang membentuk keteguhan jiwa serta komitmen mendalam beliau terhadap keamanan dunia dan pendidikan sebagai medium pemulihan pascakonflik.

TIDAK MEMATAHKAN SEMANGAT

“Trauma peperangan tidak mematahkan semangat Razak Sensei, sebaliknya melahirkan seorang pendidik yang menjadikan pendidikan sebagai jalan penyembuhan, pembangunan insan dan keamanan sejagat, di samping berperanan sebagai antara penggerak awal hubungan Malaysia–Jepun pascaperang melalui pendidikan dan pertukaran budaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IPM, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata pembabitan langsung waris Almarhum memastikan galeri berkenaan dibangunkan berasaskan sumber primer yang sahih dan berautoriti.

SEKADAR RUANG PAMERAN

Beliau berkata Galeri Razak Sensei bukan sekadar ruang pameran, tetapi arkib hidup yang memindahkan nilai pendidikan berkualiti, keamanan, ketahanan jiwa dan kemanusiaan melalui legasi seorang pendidik,” katanya.

Prof Tajul Shuhaizam berkata pembukaan galeri itu dijangka menjadi antara mercu tanda penting UPSI menjelang 2026, sekali gus mengukuhkan peranan MPN sebagai pusat rujukan warisan pendidikan negara, sekali gus membuktikan bahawa kegemilangan universiti bermula daripada ketokohan pendidik yang berjiwa, berakar pada nilai kemanusiaan dan berpaksikan kelestarian sejagat.

UPSI memiliki keistimewaan berikutan sejarah panjangnya bermula dari zaman legasi SITC hingga kini melahirkan ramai tokoh pendidik, bahasa, negarawan, persuratan, sukarelawan serta sasterawan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *