RM50,550 BANTUAN YAPEIM UNTUK PENDUDUK TERJEJAS BANJIR SARAWAK

KUCHING, 22 Jan – Kerajaan Negeri Sarawak mengalu-alukan sumbangan bantuan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian merakamkan terima kasih atas bantuan keseluruhan berjumlah RM50,550 yang disalurkan melibatkan tiga lokasi berasingan.

“Sungguhpun ini kali pertama, kita harap bukan kali yang terakhir. Selamat datang ke Sarawak. Sarawak memerlukan banyak bantuan dari segi pembangunan masyarakat dan juga lain-lain lagi,” ujar Kaunselor Tan Kai

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berharap bantuan yang disalurkan itu dapat memberi manfaat kepada golongan penerima yang memerlukan, sekali gus membantu meringankan beban yang ditanggung susulan musibah banjir.

Sementara itu, Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan berkata, bantuan yang disalurkan merupakan hasil sumbangan masyarakat kepada Tabung Amanah YAPEIM sebelum diagihkan kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti.

“Kita peruntukkan sebanyak RM16,100 tadi di Mock Check untuk bantuan kepada 114 keluarga yang terlibat dan seramai 47 orang pelajar yang terjejas akibat musibah banjir. Bantuan ini adalah di bawah Gagasan Malaysia MADANI, MADANI Membantu, di bawah YB Menteri Agama,” ujar Zabidi

Menurut beliau lagi penyerahan bantuan yang sama turut akan dilaksanakan di dua lokasi lain, iaitu di Samarahan dan Miri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan di Kampung Sinar Budi, Batu Kawa, hari ini.

Secara keseluruhan, sejak tahun 1985 hingga November 2025, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM725 juta melibatkan lebih 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara.

Agihan tersebut merangkumi pelbagai teras program iaitu Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan yang dilaksanakan secara inklusif dan sistematik.

MADELINA

rtmsarawaknews

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *