






Oleh: Sholina Osman
20 JAN. 2026
Perlis berpotensi muncul sebagai lokasi strategik baharu bagi kerjasama Malaysia-Australia, khususnya dalam sektor pertanian moden, logistik dan pembuatan makanan, sejajar dengan agenda pembangunan mampan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Perkara ini dikongsikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, ketika mengiringi Baginda dalam Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kuala Perlis.
Beliau turut menekankan peluang untuk memanfaatkan kepakaran Australia secara bersepadu dengan sumber tempatan, dengan Perlis dilihat memiliki kedudukan strategik serta potensi pertumbuhan jangka panjang yang memberangsangkan.
Antara fokus utama yang dikenal pasti ialah pembangunan pertanian moden berteknologi tinggi, logistik sebagai pemacu ekonomi masa hadapan, di samping pembuatan makanan bernilai tambah yang menggabungkan kepakaran antarabangsa dengan bahan mentah serta tenaga kerja tempatan.
KAWALAN MAKHLUK PEROSAK
Dalam masa terdekat pihak Suruhanjaya Tinggi Australia melalui Bahagian Pertaniannya berhasrat bekerjasama dengan negeri Perlis dalam program kawalan makhluk perosak atau ‘pest control’ bagi tanaman mangga.
Heinecke turut menzahirkan rasa kagum terhadap usaha bersungguh-sungguh serta komitmen tinggi yang telah dicurahkan dalam membangunkan sebuah hab komuniti dan pelbagai inisiatif pembangunan di Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis oleh Tuanku Raja Muda Perlis sendiri.
Inisiatif ini mendapat kerjasama padu daripada pihak MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, pelbagai agensi, pihak swasta, orang perseorangan, serta masyarakat setempat.
“Usaha yang dilaksanakan dengan sepenuh hati dan jiwa itu telah berjaya mengubah wajah perkampungan berkenaan menjadi sebuah komuniti yang luar biasa, bukan sahaja dari segi fizikal, malah dari aspek sosial dan kebersamaan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Sempena program kayuhan tersebut kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Jaslin Jaafar, 56 dari Kampung Tengah; Hamidah Kamis, 62 dari Kampung Hujung Tanjung; serta Rus Abdullah, 70 dari Kampung Seberang Alor sambil disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia itu yang diiringi sama oleh Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Angela Rendall. – JM
