




Oleh: Sholina Osman
Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
19 JAN. 2026
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Parlimen Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-15 di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim di Dataran Parlimen kira-kira 10 pagi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut menyambut keberangkatan tiba Baginda kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Sri Fadillah Yusof, Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, serta Yang DiPertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
SEMBAH “HORMAT DIRAJA”
Sejurus tiba di Dataran Parlimen Sultan Ibrahim kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah “Hormat Diraja” oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Lagu Negaraku kemudiannya dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diikuti tembakan meriam 21 das daripada Pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat.
Selesai istiadat berkenaan, Sultan Ibrahim diringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15. – JM
