SURI RUMAH RUGI LEBIH RM101,900 AKIBAT PENIPUAN PANGGILAN TELEFON DI SARIKEI

SARIKEI, 18 Jan — Seorang suri rumah berusia lingkungan 40-an mengalami kerugian kira-kira RM101,900 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon dalam kejadian yang berlaku pada pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai CyberSecurity Malaysia dan mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dalam aktiviti penipuan.

Mangsa kemudiannya disambungkan ke satu lagi panggilan yang kononnya daripada pegawai polis sebelum diarahkan melakukan sembilan transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek dalam tempoh dua hari.

Mangsa hanya menyedari dirinya telah diperdaya selepas berasa curiga terhadap situasi tersebut sebelum tampil membuat laporan polis.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali, walaupun mereka mendakwa mewakili agensi rasmi.

Wartawan/Foto: DEEN/PR

beritartmsarawak #rtmsarawaknews #madanibekerja #bersamaMalaysiaku #rancakkanmadani #PenipuanPanggilanTelefon

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *