

Oleh: Sholina Osman
13 JAN. 2026
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius insiden letupan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta, HELP University, di Bukit Damansara, sekaligus mengarahkan pihak universiti terlibat untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua kemudahan kampus.
Kenyataan media KPT memaklumkan
arahan ini bagi memastikan kawasan terjejas disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum digunakan, serta menyediakan sokongan kebajikan termasuk perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat.
“KPT merakamkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga seorang mangsa yang maut serta sembilan orang lagi yang cedera, termasuk empat orang pelajar dalam insiden letupan ketika kerja penyelenggaraan sistem pendingin hawa di universiti berkenaan,” kata kenyataan itu lagi.
MEMASTIKAN TAHAP KESELAMATAN
Dalam masa yang sama, KPT menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tahap
keselamatan dan kesejahteraan warga di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa
terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala serta kerjasama dengan agensi berkaitan.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut, dan sebarang maklumat terkini berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat danbkondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin. – JM
