





Oleh: Sholina Osman
7 JAN. 2026
Sebanyak 10,112 unit peralatan disyaki tidak diperakui dengan anggaran nilai RM1 juta telah disita oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada operasi pemeriksaan (Op Optik) baru-baru ini.
Kenyataan media MCMC memaklumkan antara peralatan yang disita termasuk kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV) dan beberapa peralatan sokongan operasi premis termasuk komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi.
Ia hasil Op Optik ke atas sebuah syarikat yang beroperasi di Klang dan Petaling Jaya, dipercayai terlibat dalam penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal standard yang ditetapkan oleh MCMC.
Op Optik dilaksanakan susulan maklumat risikan hasil kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM, dengan penglibatan seramai 69 pegawai.
SELAMA 19 JAM
Operasi ini telah dijalankan baru-baru ini dan mengambil masa selama 19 jam, bermula dari pukul 12.00 tengah hari hingga 4.00 pagi.
MCMC turut mendapati bahawa aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan berkenaan dijalankan melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial.
Seramai 40 individu telah diambil keterangan awal, manakala sembilan Notis Kehadiran telah dikeluarkan kepada individu termasuk pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan bagi menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya
PENGGUNAAN KELENGKAPAN KOMUNIKASI
Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui berisiko menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal, selain boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam integriti pasaran tempatan.
Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
МСМС menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa bagi mengekang penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna. – JM
