RM800 juta untuk BAP tahun ini – PMX

Oleh: Sholina Osman
5 JAN. 2026

Kerajaan memperuntukkan RM800 juta untuk Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan sekali beri berjumlah RM150 itu untuk semua pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri ibu bapa perlu hadir ke sekolah untuk menerima bantuan itu.

PERGI KE SEKOLAH

“Ibu bapa harus pergi ke sekolah sebab ibu bapa perlu pastikan wang itu dibelanja untuk anaknya, dan mereka kena dengar daripada guru masalah anak,” kata beliau semasa berucap pada majlis amanat tahun baharu pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju memperuntukkan dana segera berjumlah RM200 juta bagi membaiki Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz yang daif pada tahun ini.

Beliau menjelaskan sekalipun ia tidak termasuk dalam skim sekolah ikut dasar pelajaran kebangsaan tetapi lebih 300,000 pelajar berada di SAR.

DAHULU TELAH DIBATALKAN

“Bantuan ini dahulu telah dibatalkan sama sekali oleh Perdana Menteri terdahulu, dan ini sebenarnya telah mendera anak-anak kita,” katanya.

Anwar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga diarah untuk melaksanakan rundingan bagi memperbaiki kemudahan, meningkatkan mutu kurikulum serta guru di SAR dan maahad tahfiz.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) kepada RM80 juta berbanding RM50 juta pada tahun lepas.

Tambah beliau peruntukan sebanyak RM50 juta pula bagi Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *