MAIPs salur Sumbangan Mat’am Fidyah berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Al-Islah Perlis

Oleh: Sholina Osman
3 JAN. 2026

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan Sumbangan Mat’am Fidyah berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Al-Islah Perlis.

Selain itu juga disumbangkan barangan berupa Susu Formula dan Lampin Pakai Buang yang bernilai RM20,000 kepada persatuan berkenaan.

Kenyataan media MAIPs memaklumkan ia adalah sebagai manifestasi keprihatinan MAIPs terhadap kebajikan golongan yang memerlukan, khususnya melibatkan penjagaan ibu dan kanak-kanak.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada Yang Dipertua Persatuan Al-Islah Perlis, Dr. Muhammad Ihsan Idris, ketika menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.

Baginda diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Keberangkatan Baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

INISIATIF SUMBANGAN TERSEBUT

Mohd Nazim memaklumkan bahawa inisiatif sumbangan tersebut bertujuan memastikan agihan fidyah dan bantuan kebajikan dapat dimanfaatkan secara berkesan oleh golongan sasar, khususnya bagi menyokong keperluan asas, kesihatan, dan kebajikan keluarga yang memerlukan.

Tambah beliau, pelaksanaan sumbangan seumpama ini juga mencerminkan komitmen MAIPs untuk terus memperkukuh sinergi bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakan strategik dalam memperluas jaringan kebajikan, sekali gus memastikan setiap amanah zakat dan fidyah disalurkan secara berimpak serta berteraskan maqasid syariah.

“MAIPs sentiasa berusaha memastikan agihan sumbangan dapat diperluaskan kepada golongan yang memerlukan melalui pendekatan berasaskan keperluan sebenar (needs-based) di samping mengutamakan ketelusan, keberkesanan dan impak jangka panjang kepada kesejahteraan ummah,” jelas Mohd Nazim.

Untuk rekod, MAIPs memulakan pembukaan akaun untuk tahun kewangan 2026 pada hari ini setelah melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemeriksa Kira-Kira Majlis bagi Kewangan Berakhir 31 Disember 2025 dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *