Penempatan semula Kastam bagi tambahbaik aliran penumpang di KLIA Terminal 1 – MOT

Oleh: Sholina Osman
30 DIS. 2025

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bermula 1 Januari 2026, satu penambahbaikan operasi akan dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bagi melancarkan pergerakan penumpang yang berlepas ke luar negara.

Kenyataan media MOT memaklumkan bahawa ketika ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjalankan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas Departure Screening di zon berlepas selepas Imigresen.

Susun atur ini berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan.

Mulai 1 Januari 2026, pemeriksaan JKDM terhadap pengembara yang keluar dari Malaysia akan disatukan di pintu-pintu pelepasan.

SEBELUM MENAIKI PESAWAT

Ini bermakna penumpang akan melalui aliran pergerakan yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat, sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon berlepas.

Penambahbaikan ini dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara MOT, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), JKDM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Langkah ini tidak menjejaskan tahap keselamatan atau penguatkuasaan kastam.

Sebaliknya, pemeriksaan penumpang dan barangan akan terus diperkukuhkan melalui penyelarasan operasi dan pematuhan prosedur yang dipersetujui bersama.

MEMBAWA KELUAR BARANGAN

Sebarang cubaan membawa keluar barangan yang melanggar undang-undang akan tetap dikenakan tindakan tegas.

Penambahbaikan ini dijangka dapat meningkatkan pengalaman penumpang, mempercepatkan proses menaiki pesawat serta memastikan operasi KLIA Terminal 1 berjalan dengan lebih cekap, selamat dan tersusun, selaras dengan amalan terbaik lapangan terbang antarabangsa.

MOT merakamkan penghargaan kepada JKDM dan MAHB atas kerjasama erat dalam melaksanakan penambahbaikan ini demi kepentingan orang ramai dan kelancaran operasi lapangan terbang negara. -JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *