



Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Jabatan Penerangan Negeri Perlis
28 DIS. 2025
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-9 sekaligus menamatkan segala teka-teki siapa dipilih bagi menerajui tampuk pemerintahan negeri ini.
Abu Bakar Hamzah, 57 telah menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau tepat pada pukul 4.08 petang ini.
TELAH MENCATAT SEJARAH
Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis ini
telah mencatat sejarah apabila menjadi Menteri Besar yang pertama dari parti ini.
Pada 25 Disember lalu, ADUN Kuala Sanglang, Mohd Shukri Ramli telah mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar secara sukarela di atas faktor kesihatan.
Mohd Shukri dalam Sidang Media Khas di Kediaman Menteri Besar telah memaklumkan hasrat peletakan jawatan itu setelah diperkenan mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – JM
