

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
24 Disember 2025
Dalam mendepani kemelut yang timbul antara UMNO dan DAP berkaitan titah adendum tahanan rumah melibatkan Datok Seri Najib Razak, peringatan Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim amat wajar sekali dijadikan pedoman.
Dalam kenyataannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berpegang teguh kepada prinsip menegakkan hukum dan pengasingan kuasa yang menjadi amalan selama ini.
Menurut PMX, badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.
Atas prinsip tersebut, tegasnya, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat hakim berkaitan titah adendum itu.
“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan.
RAYUAN KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG TERBUKA LUAS
Selain itu, rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong juga terbuka, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
Berpandukan peringatan Datok Seri Anwar itu, semua pihak tidak seharusnya membuat komen berlebihan dan melampaui sempadan.
Jika dibuat berlebihan, ia pasti akan memberi kesan yang lain yang akhirnya boleh merosakkan perpaduan, keharmonian dan keamanan yang sedia terjalin selama ini.
Apabila itu berlaku, tiada sesiapa yang untung, malah mendedahkan negara kepada ketidakstabilan.
Ingatkan negara kita ada peraturan dan undang-undang yang telah digunapakai sejak sekian lama.
Oleh yang demikian, marilah kita melapangkan dada dan meluaskan minda berdepan isu terbaru ini dan jangan biarlah ia membawa kepada perpecahan.
