SILiN 4.0 disemarakkan dengan Karnival Seni Pantun Melayu Warisan

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan UPSI
20 DIS. 2025

Persatuan Penulis Budiman Malaysia ( BUDIMAN) dengan kerjasama program Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telahmenganjurkan Karnival Seni Pantun Melayu Warisan pada 18 dan 19 Disember lalu.

Penganjuran karnival ini bagi mendidik generasi masa kini supaya menghargai seni pantun agar warisan bangsa ini dapat terus mewarnai masyarakat dan rakyat khususnya orang Melayu.

Program ini telah diadakan sempena Seminar Internasional Literatur Nusantara 4.0 ( SILiN 4.0).

Pengarah Pusat Kebudayaan, Siti Salwa Jamaldin yang mewakili Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak telah menyempurnakan karvinal ini di Dewan Anjung, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).

Beliau berkata program ini berjaya menarik minat mahasiswa untuk menjiwai seni warisan Melayu yang harus dipertahankan itu.

TINGGI NILAI PERADABANNYA

Katanya, pantun adalah seni warisan Melayu yang tinggi nilai peradabannya dan merupakan warisan sastera lisan yang sarat dengan nilai akal budi, kesantunan berbahasa, dan kebijaksanaan pemikiran orang Melayu.

Selain akademia UPSI, SILiN 4.0 menyaksikan pembentangan kertas kerja antaranya oleh Prof Dr Mohamad Mokhtar Hassan dari Universiti Malaya; Abdul Razak Panaemale (Walailak University, Thailand) ; Dr Rahimah Hamdan (Universiti Putra Malaysia), Dr Tuan Rusmawati Raja Hassan (Universiti Malaysia Kelantan) dan Dr Makmur Harun dari Universiti Utara Malaysia.

Sementara itu, Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang memperuntukkan dana bagi pelaksanaan program imi menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2025.

MENGANGKAT MARTABAT SENI

“Sokongan dana daripada MOTAC sangat membantu dalam menggerakkan program yang mengangkat martabat seni dan warisan kebangsaan,” katanya.

Pengarah Program, Dr Mohd Zikri Ihsan Mohamad Zabhi. berkata sempena penganjuran SILiN 4.0 turut diadakan Bengkel Seni Pantun Berasaskan Teknologi AI bimbingan tokoh pantun dari Singapura, Cikgu Karmin serta program Pendokumentasian Pantun Melayu Warisan.

“Menariknya lebih 200 mahasiswa di bawah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu FBK mencipta pantun mengikut kreativiti masing-masing,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *