

Oleh: Sholina Osman
19 DIS. 2025
Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025 kepada para pengguna kenderaan persendirian bersempena perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember 2025.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol.
Bagaimanapun kata beliau diskaun ini dikecualikan pada plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
MENANGGUNG IMPLIKASI KEWANGAN
“Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat berikutan pemberian diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Hari Krismas 2025 ini,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Alexander berkata pemberian diskaun tol 50 peratus ini diharap dapat meringankan sebahagian dari beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.
Jelas beliau ini selari dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat semua peringkat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
INISIATIF PENYURAIAN TRAFIK
Beliau berkata pemilihan tarikh ini juga adalah sebahagian dari inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.
Beliau beekata Kementerian berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar.
Di samping itu, kata beliau pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.
MENYEMAK STATUS TRAFIK
Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook:
Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @LLMtrafik dan Tiktok @limtrafik secara berkala.
Hubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan bantuan atau maklumat terkini keadaan trafik.
Alexander mewakili KKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna memandu dengan berhemah dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk dan bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita sentiasa selamat, bersih dan selesa serta berusaha mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” tambah beliau. – JM
