






PUTRAJAYA, 17 Disember – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini menganjurkan Majlis Ikrar Bebas Rasuah sebagai usaha berterusan memperkukuhkan integriti dan tadbir urus dalam industri perkhidmatan air negara. Majlis berlangsung di Dewan Head of State, Level G, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis dimulai dengan peluncuran Dokumen Strategik Integriti Industri Perkhidmatan Air (DSIIPA) oleh Datuk Ir. Abdul Kadir bin Mohd Din, Pengerusi SPAN. Peluncuran dokumen tersebut menandakan komitmen SPAN dalam membudayakan integriti dan ketelusan dalam pengurusan industri air. Kemuncak majlis berlangsung menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh Tuan Mohd Faizal bin Sulaiman, Pengarah Bahagian Integriti Dan Pengurusan Risiko, diikuti sesi menandatangani ikrar oleh Pengerusi SPAN, Anggota Suruhanjaya dan Operator Utama Industri Perkhidmatan Air yang disaksikan oleh Datuk TPj Ahmad Nizam bin Ismail, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM bersama lebih 150 warga SPAN.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Forum Integriti bertajuk “Memperkukuhkan Integriti Perkhidmatan Air Negara: Penguatkuasaan, Peraturan dan Penghayatan Nilai”. Forum telah dikendalikan oleh Moderator Tuan Abdul Rahman bin Abdullah, Kosultan Institut Integriti Negara yang menampilkan ahli panel terdiri daripada Datuk TPj Ahmad Nizam bin Ismail, Dato’ Hj. Zamri bin Yusuf, Anggota Jawatankuasa Audit SPAN serta YBrs. Al Fadil Ustaz Mohd Anas bin Kamis, Penceramah Bebas dengan perbincangan menyentuh aspek penguatkuasaan, peraturan dan pembentukan nilai integriti. Penganjuran majlis ini mencerminkan kesungguhan SPAN dalam memerangi rasuah serta memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan dan perkhidmatan air negara.
